KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) – Pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) diingatkan supaya sentiasa mengamalkan nilai murni dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu-isu sosial di mana-mana pun mereka berada.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata sebagai bakal pemimpin, masyarakat akan menilai pelajar lepasan MTD bukan sahaja daripada pencapaian akademik tetapi juga dari aspek nilai murni.
“Sebagai bakal pemimpin negara, anda sewajarnya mengamalkan nilai-nilai murni seperti integriti, kecekapan dan keberanian. Pemimpin yang berjaya bukan hanya diukur dari segi pencapaian akademik tetapi juga keprihatinan terhadap isu sosial serta komitmen untuk memperbaiki kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampai ucapan pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2024 yang disertai 436 pelajar di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Mohd Nizam turut menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sesi 2024.
Penerima Anugerah Lembaga Tadbir ialah Ariff Fikry Aminuddin, Anugerah Pengarah Pengajian (Muhammad Faiz Hazimin Madin), Anugerah Komandan (Muhammad Adif Hakimi Abdul Razak) dan Anugerah Menteri Pertahanan (Myzan Haqiemy Muzainy).
Sementara itu, Myzan Haqiemy, 18, yang juga pelajar terbaik keseluruhan berkata beliau mahu melanjutkan penggajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), bagi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi Panglima ATM pada masa hadapan.
“Saya berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak membantu sehingga saya memperoleh keputusan 9A pada peperiksaan percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.
Beliau juga berkata selain bidang akademik, beliau juga aktif dalam sukan ragbi dan diberi kepercayaan menjadi ketua platun oleh jurulatih di MTD.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial