AM > BERITA

Malek Razak Mulakan Tugas Sebagai Panglima ATM Ke-24 Hari Ini

04/02/2026 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 hari ini.

Beliau tiba di Wisma Pertahanan, di sini pada 2.15 petang sebelum menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Malek Razak kemudiannya mengibarkan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di hadapan pejabatnya sebagai simbolik memulakan tugas sebagai PAT ke-24.

Ad Banner
Ad Banner

Majlis Sambutan Mula Tugas itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Pada 31 Jan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Malek Razak, yang sebelum ini memegang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat, sebagai Panglima ATM berkuat kuasa 1 Feb.

Malek Razak, 60, memulakan kerjaya ketenteraan sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom pada 1985 sebelum ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda pada 11 Dis 1987.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 RAMD.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan