AM > BERITA

KPKT Bentang 12 Komitmen Untuk Kesejahteraan Rakyat

23/02/2025 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membentangkan 12 komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sempena Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI yang berlangsung semalam.

Menterinya Nga Kor Ming berkata antaranya pencapaian sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12, pembinaan 5,500 unit Rumah Mesra Rakyat menerusi Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) serta Pelancaran Bandar MADANI Malaysia melalui PR1MA.

“Kami berusaha untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dan memastikan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang aman dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPKT juga komited untuk membina baru dan membaik pulih 5,000 unit rumah usang dan daif bagi golongan berpendapatan rendah serta melaksanakan 358 projek penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah dan sederhana dengan membaik pulih dan menggantikan lif usang.  

“Dalam aspek pengurusan sisa pepejal, KPKT menyasarkan untuk menutup 2,500 tapak pelupusan sampah haram termasuk sitaan lori haram. Pihak kementerian juga komited untuk melaksanakan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar yang bertujuan menguruskan produk pascapengguna,” katanya. 

Selain itu, Nga berkata KPKT juga menyasarkan untuk melaksanakan 6,000 projek pembangunan infrastruktur awam asas dan membina 100 buah Taman Awam MADANI dalam usaha membangunkan industri landskap di Malaysia.

Bagi sektor kebombaan, beliau berkata pihaknya akan memperkasakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara lain dengan menambah baik rangka perundangan seperti pindaan Akta Kebombaan. 

Kementerian itu juga katanya akan meneruskan usaha menambah baik rangka perundangan bagi pengenalan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil dan pengenalan Akta Pembaharuan Semula Bandar.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu Malaysia menerusi KPKT sedang membuat bidaan untuk jawatan Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan