IPOH, 24 Feb (Bernama) -- Kemudahan bas henti-henti BAS.MY Ipoh dilancar hari ini di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) dengan peruntukan RM13.17 juta setahun atau RM65.85 juta bagi tempoh lima tahun.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata melalui inisiatif itu, sebanyak 51 bas baharu terdiri daripada 14 bas midi dan 37 mini low floor akan digunakan untuk memenuhi operasi di 16 laluan.
“… tahap perkhidmatan telah ditambah baik dengan tambahan laluan ke Kuala Kangsar dan Kampar. Saya berharap tambahan laluan ini akan memudahkan warga Kuala Kangsar dan Kampar untuk berulang-alik ke Ipoh dengan lebih selesa,” katanya berucap pada majlis pelancaran BAS.MY Ipoh di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
BAS.MY Ipoh menampilkan wajah baharu yang lebih segar dengan bas berwarna merah jambu, menggantikan warna biru myBAS sebelum ini.
Kesemua bas ditempatkan di Terminal Bas Meru Raya, Jelapang dan akan memulakan operasi rasmi di Stesen Bas Medan Kidd dengan beroperasi di laluan utama yang menghubungkan Medan Kidd ke Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor, Pasir Puteh, Pengkalan Sentosa, Sultan Azlan Shah Airport, Taman Botani, Batu Gajah, Seri Iskandar, Kuala Kangsar dan Kampar.
Sementara itu, Loke berkata laluan BAS.MY akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan pas bulanan perjalanan tanpa had iaitu Kad 30 Hari BAS.MY akan turut diperkenalkan di bandar raya ini.
Beliau berkata dengan Kad 30 Hari BAS.MY itu, pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di semua 16 laluan BAS.MY Ipoh bagi tempoh sebulan.
“Sebagai contoh, individu yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY Ipoh dari Kampar ke Ipoh untuk ke tempat kerja perlu membayar tambang sebanyak RM4.70 sehala atau RM9.40 dua hala.
“Dengan Kad 30 Hari BAS.MY, pengguna hanya perlu membayar RM50 sebulan berbanding RM188 untuk 20 hari bekerja, iaitu penjimatan hampir 74 peratus. Kemudahan ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja,” katanya.
Selain itu, Loke berkata kemudahan Kad Konsesi BAS.MY yang menawarkan tambang percuma kepada warga emas berumur 60 dan ke atas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah serta kini diperluas kepada golongan mahasiswa seperti yang telah diumum Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025.
“Untuk menikmati inisiatif tambang percuma ini, warganegara yang layak hanya perlu berdaftar sekali sahaja dengan bayaran RM10,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial