AM > BERITA

HKK 2025 Tidak Dibatalkan Hanya Tangguh - Tiong

20/02/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa penganjuran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2025 hanya ditangguhkan dan bukan dibatalkan.  

Beliau berkata kementerian membuat keputusan menangguhkan program itu pada tahun ini kerana terdapat masalah hala tuju Kraftangan Malaysia dalam melaksanakan HKK itu serta mengambil kira pulangan pelaburan yang rendah. 

“Saya mengakui kita ada kelemahan dan kita akan jalankan siasatan terhadap agensi Kraftangan (Malaysia), saya sudah bagi tahu, jika tahun depan kalau hala tuju ini tidak berubah, jangan buat kerana saya tidak mahu membazirkan duit rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kos bagi melaksanakan HKK itu menelan belanja RM6 hingga RM8 juta dan pada masa ini pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menstruktur semula Kraftangan Malaysia.

Sementara itu, Tiong berkata MOTAC bersetuju menggunakan metodologi pelaporan statistik yang merangkumi pelancong bermalam serta pelawat harian seperti dicadangkan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn. 

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata cadangan berkenaan dilaksanakan memandangkan pelawat harian turut menyumbang kepada ekonomi melalui perbelanjaan pengangkutan, makanan, beli-belah, dan perkhidmatan lain.

“Cadangan menggunakan data pelawat asing atau ‘visitors’ juga dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN pada 19 Jan 2025,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata kementerian itu melalui Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) telah membuat kajian mengenai gaji permulaan jurutera di negara ini.

“Kajian mencadangkan julat permulaan gaji jurutera adalah sepatutnya RM2,500 hingga RM3,500 sebulan dan terdapat keperluan peningkatan yang lebih mampan untuk meningkatkan gaji graduan kejuruteraan yang baharu.

“LJM juga telah menambah baik standard Engineering Accreditation Council (EAC) bagi kursus ijazah kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan bagi inisiatif awal untuk mengurangkan ketakpadanan dan kelompangan pengetahuan dalam kalangan graduan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika menggulung perbahasannya memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM6 juta bagi subsidi bantuan rawatan IUI (permanian berhadas) pada tahun ini manakala RM1.3 juta bagi Program Kesihatan dan Kesejahteraan Lelaki yang disasarkan untuk memanfaatkan 8,000 orang. 

Beliau berkata pihaknya juga sedang merancang mengadakan audio siar dengan menampilkan doktor untuk menggalakkan dan meningkatkan kesedaran mereka yang tertekan dengan masalah kesuburan  supaya datang ke klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara bagi mendapatkan khidmat nasihat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan