PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis, Palestin selain pemulihan di Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan menerusi instrumen wakaf akan dilaksanakan selaras permohonan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri yang mahu negara ini membantu kemajuan di Baitulmaqdis.
“Sheikh Dr Ekrima meminta agar kita turut membantu kemajuan di Baitulmaqdis, termasuk membaiki suasana di masjid atau madrasah-madrasah di sekitarnya.
“Saya telah berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, untuk memastikan selain daripada bantuan khusus bagi pemulihan Gaza, kita juga akan menyediakan bantuan wakaf untuk Universiti Al-Quds, madrasah, sekolah serta hospital di Baitulmaqdis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Imam Masjid Al-Aqsa di sini hari ini.
Anwar menegaskan bahawa bantuan di Baitulmaqdis adalah sangat penting untuk meringankan beban rakyat Palestin.
“Saya berharap dengan usaha ini, kita dapat tingkatkan usaha dan meringankan beban mereka. Di Baitulmaqdis, sudah terdapat sebuah universiti yang namanya Al-Quds, tetapi (operasinya) bergantung kepada bantuan umat.
“Saya telah minta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bersama universiti tempatan dan sekolah untuk menjalinkan hubungan dan memperkukuh kegiatan universiti tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk meneruskan agenda membantu rakyat Palestin di Gaza dan Baitulmaqdis, serta mempamerkan nilai ihsan dan kemanusiaan yang tinggi.
“Sheikh Dr Ekrima turut hargai (Malaysia) sebagai satu daripada negara yang terkehadapan dalam perjuangkan hak rakyat Palestin, baik di Gaza mahupun di Baitulmaqdis,” katanya.
Anwar berkata kedatangan Sheikh Dr Ekrima ke Malaysia adalah satu penghormatan besar bagi negara memandangkan beliau seorang alim masyhur.
“Beliau juga yang merupakan benteng pertahanan sebagai Imam dan Katib Masjid Al-Aqsa di bumi bertuah Baitulmaqdis, Palestin,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyertai ribuan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak yang diimamkan oleh Sheikh Dr Ekrima yang kini sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia hingga 27 Feb ini.
Sebelum ini, Anwar berkata Malaysia akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Perdana Menteri berkata usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial