PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kesudian menyediakan bantuan berbentuk wakaf bagi pembangunan pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis, Palestin.
Beliau berkata bantuan berkenaan akan menyumbang kepada projek kemasyarakatan, seperti membantu anak yatim, membangunkan hospital, membina masjid dan menjaga tanah perkuburan di bumi suci Allah itu.
"Melalui wakaf, kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan.
"Semoga Allah SWT membalas jasa Perdana Menteri atas langkah yang positif serta membina ini dan semoga Allah SWT memberikan kebaikan kepada bumi Malaysia," katanya ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra, di sini malan ini.
Terdahulu dalam majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi pendidikan serta kesihatan di Baitulmuqaddis selain pemulihan di Gaza.
Anwar berkata bantuan menerusi instrumen wakaf itu dilaksanakan selaras permohonan Sheikh Dr Ekrima yang mahu negara ini membantu kemajuan di Baitulmuqaddis.
Beliau berkata bantuan itu adalah bagi Universiti Al-Quds, madrasah, sekolah termasuk hospital di Baitulmuqaddis.
Sheikh Dr Ekrima turut mengalu-alukan negara Islam lain mencontohi langkah Malaysia dalam membela saudara sesama Islam di bumi Palestin.
"Undangan ini terbuka juga kepada semua negara Arab dan kerajaan negara Islam untuk meninggalkan jejak mereka di bumi Al-Quds (Baitulmuqaddis) kerana ia bukan hanya untuk penghuni Al-Quds, tetapi juga untuk seluruh umat Islam.
"Kota Al-Quds memerlukan sokongan untuk membantu projek-projek dan menyokong mereka yang tinggal di sana yang telah menjaga dan memelihara bandar suci itu," kata Sheikh Dr Ekrima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial