KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Emeritus, syarikat teknologi pendidikan terkemuka di dunia diiktiraf oleh TIME, telah memasuki Fasa 2 Program Pembangunan Kepimpinan All-Star, untuk meningkatkan daya saing digital, kecekapan dan kawal selia kendiri dalam industri komunikasi.
Program peringkat nasional itu yang menumpukan kepada pembangunan penetapan minda digital dan ciri kepimpinan berdasarkan Kerangka Pembangunan Kepimpinan MCMC telah melibatkan lebih 200 pemimpin taktikal daripada MCMC.
Kohort pertama Fasa 2 telah mencapai kadar siap sebanyak 100 peratus, menampilkan kursus profesional daripada institusi global berprestij, seperti MIT xPRO dan Cambridge Judge Business School Executive Education.
Dengan tiga kohort baharu yang sedang berlangsung, MCMC dan Emeritus berhasrat untuk memacu pertumbuhan yang menyokong pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia.
Ketua Pegawai Sumber Manusia MCMC Dr Murugappan dalam kenyataan menekankan impak dunia nyata program berkenaan setelah kumpulan pertama Fasa 2 berjaya menyelesaikan latihan mereka dan tiga kumpulan baharu kini bermula.
Murugappan berkata inisiatif ini menegaskan kepentingan perkongsian awam dan swasta dalam memacu agenda digital Malaysia, dengan pembangunan bakat merupakan komponen penting.
"Menerusi perkongsian ini, MCMC dan Emeritus ingin terus menyediakan pengalaman pembelajaran berkualiti yang mengimbangi kepimpinan digital dan berorientasikan manusia yang bukan sahaja untuk memacu transformasi digital, tetapi juga meletakkan asas kukuh dalam menyediakan pemimpin bagi menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Kerjasama antara MCMC dengan Emeritus selari dengan inisiatif MyDigital Malaysia dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi berpendapatan tinggi, dipacu secara digital dan peneraju serantau dalam sektor digital.
Sementara itu, Presiden, Perniagaan Perusahaan di Emeritus Jawahir Morarji berkata syarikat itu berbangga dapat bekerjasama dengan MCMC untuk meningkatkan bakat dan keupayaan badan pengawal selia untuk terus berada di hadapan dalam perubahan teknologi.
"Kumpulan pertama menunjukkan prestasi membanggakan dengan keputusan yang baik dan maklum balas positif daripada peserta. Berikutan kejayaan ini, kami berbesar hati ingin mengumumkan bahawa kumpulan peserta seterusnya bagi fasa ini akan memulakan perjalanan pembelajaran mereka tidak lama lagi.
"Sebagai peneraju dalam teknologi pendidikan, kami berbangga dapat terus menyumbang kepada pembangunan bakat di Malaysia dan membawa rangkaian pakar global ke dalam program Pembangunan Kepimpinan All-Star," katanya.
Program itu menggabungkan pelbagai kaedah pembelajaran termasuk kursus profesional, sesi bimbingan, bengkel refleksi, perbincangan panel oleh pakar industri dan pembelajaran kecil melalui Emeritus Insights.
Fasa 2 menawarkan pelbagai kursus sijil program digital daripada 40 universiti termasuk MIT xPRO dan Cambridge Judge Business School Executive Education, dengan sijil penamatan kursus diberikan terus oleh institusi bertaraf dunia ini.
Kursus berkenaan antaranya termasuklah Circular Economy and Sustainability Strategies, Digital Transformation: 5 Game-Changing Technologies for Business, dan Leading Organisations for High-Velocity Performance.
Peserta juga akan menjalani latihan pembangunan kepimpinan yang dikendalikan oleh jurulatih diperakui International Coaching Federation dan pengamal industri.
Emeritus Insights kini menawarkan lebih 5,000 video pembelajaran daripada buku terlaris, pemikir terkemuka, pakar dalam bidang masing-masing dan fakulti akademik terbaik, termasuk pereka permainan video legenda Hideo Kojima; pelawak Hasan Minhaj; dan bekas Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial