AM > BERITA

Umat Islam Harus Bina Kekuatan Ekonomi, Kuasai AI Dan Digital - PM Anwar

25/02/2025 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Dalam menghadapi persaingan dunia yang sengit dan mencabar, umat Islam perlu merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi serta menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa pada masa yang sama, umat Islam perlu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai-nilai kemanusiaan, akhlak, dan ihsan, seperti yang ditekankan dalam gagasan MADANI.

“Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk ‘Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam’, mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.

“Pada masa itu, kota Al-Quds menjadi saksi, tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu MADANI bersama Imam Masjid Al-Aqsa di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Syeikh  Dr Ekrima sebagai seorang daripada tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa pada akhir majlis tersebut.

“Saya turut ulangi teguran yang disampaikan semasa berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain baru-baru ini, mengenai permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan