AM > BERITA

BKK 2025: Bukti Penghargaan Kerajaan Kepada Penjawat Awam, Pesara Dan Veteran

25/02/2025 09:32 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2025 yang disalurkan mulai hari ini kepada penjawat awam serta pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai golongan itu yang merupakan tulang belakang perkhidmatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas mengumumkan mengenai BKK berjumlah RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 untuk pesara, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, Presiden Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) Dr Thilagavathy Aramugam ketika dihubungi Bernama berkata BKK itu akan membantu penjawat awam terutama yang beragama Islam untuk membuat persiapan menjelang Ramadan minggu ini.

“Bagi yang bukan Islam, mungkin boleh menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli kelengkapan lain seperti peralatan persekolahan dan sebagainya,” katanya yang merupakan Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan. 

Senada dengan beliau, Penasihat Imaiyam Dr Muralitharan Paramasua berkata bantuan itu membuktikan kerajaan menghargai peranan penjawat awam yang selama ini bertungkus-lumus membantu melicinkan pentadbiran kerajaan.

"Bantuan kewangan ini umumnya dilihat sebagai satu usaha positif daripada kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan penjawat awam.

"Bagaimanapun, bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan seperti ini semata-mata, penjawat awam boleh mempelajari ilmu baharu bagi memperoleh sumber pendapatan sampingan," katanya yang juga Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Kakitangan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Eszereen Juferi pula menyifatkan bantuan itu bukan sahaja membantu pekerja awam dalam memenuhi keperluan peribadi bahkan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Suntikan kewangan tambahan ini secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara, merancakkan ekonomi domestik terutama dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan, meningkatkan kuasa beli kerana pekerja sektor awam dapat berbelanja lebih untuk keperluan keluarga.

“Bantuan khas kewangan seperti ini juga mengurangkan tekanan kewangan kepada pekerja sektor awam yang mungkin menghadapi komitmen tinggi seperti sewa rumah, ansuran kenderaan atau keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Mejar (B) Abdul Rahman Teoh Abdullah yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Ranjer Diraja dari 1978 hingga 2001 berkata kerajaan sekali lagi  menunjukkan komitmen tidak berbelah-bahagi terhadap golongan veteran .

“Ia satu langkah oleh kerajaan yang sangat dialu-alukan dan kami berterima kasih kerana mereka terus mengingati jasa kami,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan