KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) – Kerajaan komited untuk mempercepat transformasi digital negara dengan memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, program eUsahawan yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah melatih lebih 563,000 usahawan sejak 2015, membolehkan mereka menguasai strategi pemasaran digital dan e-dagang.
“Bagi memastikan rakyat Malaysia terus berdaya saing dalam ekonomi digital, kita juga telah melaksanakan inisiatif MD Workforce Training & Place & Train, yang disertai seramai 12,964 pekerja tempatan dalam bidang AI, pengkomputeran awan, sains data dan animasi sehingga Disember 2024,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata setakat November 2024, pencapaian keseluruhan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 mencecah 82.15 peratus.
Selain itu, Gobind berkata kerajaan juga melaksanakan AI at Work 2.0, secara kerjasama dengan Google Cloud, yang membolehkan 445,000 penjawat awam menggunakan teknologi AI generatif dalam tugasan harian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial