KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Galeri Kebudayaan World Culture Organization (WCO) menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records sebagai ASEAN's First Cultural Gallery Showcasing 3,388 Handcrafted Dioramas and Unique Art Pieces to Preserve Heritage and Promote Cultural Harmony.
Pengarah Urusan ASEAN Records Gillian Ooi berkata pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang WCO dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya ASEAN menerusi koleksi miniatur budaya buatan tangan yang luar biasa.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan peranan WCO sebagai pusat pemeliharaan seni dan budaya, selain menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian budaya di Malaysia serta rantau ASEAN,” katanya kepada media selepas menyerahkan sijil pengiktirafan kepada WCO di sini hari ini.
Sebagai langkah memperkukuh kerjasama, ASEAN Records dan WCO turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memperluaskan jaringan seni budaya serantau serta memperkenalkan lebih banyak inisiatif pelestarian warisan budaya di ASEAN.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan dan Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.
Ooi berkata sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, ASEAN Records dan WCO merancang untuk menubuhkan Galeri Miniatur Budaya ASEAN, yang akan menampilkan koleksi diorama dan artifak budaya yang mencerminkan seni bina, seni rupa serta warisan sejarah ASEAN.
“Bagaimanapun, butiran lanjut mengenainya akan diumumkan pada Mac nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengasas WCO Foo Loke Kee menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu pencapaian besar dalam usaha memartabatkan seni budaya serantau, agar terus dihargai oleh generasi akan datang.
“Pengiktirafan ini sangat bermakna bagi WCO. Sejak penubuhannya pada 2011, kami berbesar hati melihat hasil seni budaya buatan tangan semakin diterima ramai.
“Melalui karya ini, kita dapat mengenali antara satu sama lain serta memperkukuh hubungan budaya, dan kami berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk lebih banyak inisiatif seni dan budaya di ASEAN, sekali gus memastikan warisan ini terus hidup dalam kalangan generasi akan datang,” katanya.
Terletak di Batu 9, Cheras, Hulu Langat, Selangor, Galeri Kebudayaan WCO menampilkan pelbagai diorama yang menggambarkan warisan budaya etnik ASEAN, termasuk aspek sejarah, adat resam serta seni rupa tempatan.
Setiap karya seni dihasilkan dengan penuh ketelitian, menjadikannya koleksi unik dan bernilai tinggi.
Sebelum ini, galeri berkenaan pernah menerima beberapa pengiktirafan, antaranya Malaysia Good Design Award bagi kategori set hadiah dan cenderamata kebudayaan pada 2018, serta rekod kebangsaan The Malaysia Book of Records sebagai Pusat Diorama Buatan Tangan Silang Budaya Pertama melalui Koleksi Diorama Malaysia dan China pada 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial