Perhimpunan Di Sabah: Polis Buka Dua Kertas Siasatan, Namun Tiada Pertuduhan - KPN

26/02/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Polis membuka dua kertas siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu iaitu pusat pentadbiran negeri Sabah pada 31 Dis tahun lepas, namun tiada pertuduhan dikenakan terhadap penganjur.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata dalam perhimpunan itu terdapat dua pihak yang menyokong dan menentang pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kegagalan menghantar notis pemberitahuan yang lengkap kepada pihak polis, dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah pada 10 Feb lepas.

“Hari ini Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas kedua-dua penganjur. Polis akur dan menerima baik keputusan itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Razarudin berkata pihaknya menjalankan siasatan secara adil dan saksama berhubung kes terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata berlandaskan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sama ada memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding adalah tertakluk di bawah bidang kuasa peguam negara.

Razarudin berkata kerajaan juga telah memutuskan untuk meminda dan menambah baik Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini media melaporkan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan dan memberhentikan prosiding terhadap individu yang terlibat dalam kes perhimpunan tanpa notis kebenaran terbabit selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 31 Dis tahun lepas, Bernama melaporkan kecekapan pihak polis mengawal perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dan Himpunan Bangkit Sabahan yang berlangsung serentak, berjaya memastikan kedua-dua perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman.

Kedua-dua perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di tempat dan masa yang sama iaitu di hadapan Menara Kinabalu pada 2 petang, dan turut diadakan Karnival Ria di kawasan sama pada hari itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan