AM > BERITA

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Pada 27 April Hingga 2 Mei Di Perlis

25/02/2025 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M akan diadakan pada 27 April hingga 2 Mei ini di Perlis. 

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Dewan Wawasan 2020 di Kangar, Perlis menjadi lokasi penganjuran majlis itu yang dijadualkan berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam.

“Setakat ini, MTHQK 2025 melibatkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri. Setiap negeri diwakili oleh lapan peserta, iaitu dua peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran,” katanya kepada Bernama.

Mohd Na’im turut memaklumkan perasmian MTQHK dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 April ini, manakala majlis penutupan dijangka disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada 2 Mei.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan pada September lepas memaklumkan bahawa pemilihan Perlis sebagai tuan rumah dipersembahkan oleh Mohd Na'im kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis sembah menghadap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan