KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan pelbagai tindakan bagi menangani krisis populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata antara langkah utama ialah mengukuhkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.
Beliau berkata usaha ini melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), veteran Angkatan Tentera Malaysia, Orang Asli, dan komuniti setempat dalam penguatkuasaan bersama.
“Selain itu, mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence) bagi konservasi eksitu Harimau Malaya melalui pengukuhan fungsi, perjawatan, perkakasan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik.
“Langkah lain termasuk meningkatkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) kepada kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan negara termasuk habitat Harimau Malaya,” katanya.
Huang berkata MyTTF turut memperluaskan pelaksanaan Skim Akreditasi ‘Conservation Assured Tiger Standards’ (CA|TS) bagi mengukuhkan keberkesanan pengurusan habitat Harimau Malaya.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai langkah proaktif MyTTF untuk melindungi Harimau Malaya melalui kajian saintifik terhadap populasinya dan adakah kementerian bercadang menyediakan dana khas bagi meningkatkan kawalan terhadap sindiket pemburuan haram.
Mengulas lanjut, Huang berkata kerajaan telah menyediakan dana khas untuk menangani pemburuan haram melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3), yang melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah dan pelantikan Renjer Komuniti.
Beliau berkata sebanyak RM189 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan BP3 dari 2020 hingga 2024 manakala RM80 juta pada tahun ini untuk melantik 2,550 Renjer Komuniti, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Bagi meningkatkan kawalan terhadap sindiket pemburuan haram dan jenayah hidupan liar rentas sempadan pula, beliau berkata Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) ditubuhkan di bawah PDRM, sementara pasukan ‘Special Protected Area Response Team’ (SPARTA) di bawah Jabatan Perhilitan telah diperkukuhkan sebagai pasukan taktikal khas untuk menangani isu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial