AM > BERITA

KBS Pilih Kampung Baru Penaga Sebagai Kampung Angkat Program Santuni MADANI

08/03/2025 10:09 PM

KEPALA BATAS, 8 Mac (Bernama) -- Kampung Baru Penaga di sini dipilih sebagai kampung angkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata menerusi program itu, hubungan antara pemimpin dengan komuniti setempat dapat dieratkan selain berpeluang memahami dengan lebih dekat cabaran dihadapi masyarakat.

“Saya masih ingat lagi kunjungan pertama saya ke kampung ini pada Julai tahun lepas dan berkesempatan berbincang dengan ketua kampung, penghulu, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI.

“Pelbagai input dan pandangan bernas telah disuarakan pada sesi libat urus dan merumuskan bahawa fokus utama program Santuni MADANI adalah untuk menangani isu-isu sosioekonomi penduduk kampung ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Santuni MADANI Timbalan Menteri Belia dan Sukan di sini hari ini.

Adam Adli berkata antara isu utama yang dikenal pasti adalah kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, penyalahgunaan dadah serta kemudahan infrastruktur.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas pelbagai aktiviti bermanfaat telah dilaksanakan di kampung berkenaan seperti Program Gotong-Royong Santuni MADANI, pemasangan lampu solar, pembaikan pendawaian elektrik dan kursus kemahiran asas untuk pengusaha kecil.

Menurut Adam Adli beliau sendiri memilih kampung itu sebagai kampung angkat Santuni MADANI kerana amat dekat di hatinya memandangkan ia merupakan kampung halaman ibunya.

Sementara itu, beliau berkata program Santuni MADANI merupakan usaha jangka panjang dan yakin lebih banyak ruang kerjasama akan dapat dibuka untuk melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan komuniti setempat.

Di samping itu, beliau juga mahu penduduk terutama golongan belia memanfaatkan kemudahan yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) antaranya kelas keusahawanan dan pendidikan kesihatan diri sekali gus berupaya merapatkan jurang digital.

“Besar harapan saya agar kampung ini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin belia yang berketerampilan dan berjiwa besar,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan