Polis Terima Laporan Warga Asing Curah Anjing Dengan Air Panas

09/03/2025 08:48 PM

IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki menganiaya seekor anjing di Menglembu di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 12.30 tengah malam Jumaat lepas dan sedang melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal pihak polis mendapati seorang lelaki warga asing telah menyimbah secawan air panas ke atas seekor anjing liar yang berlegar di luar premis. 

"Anjing tersebut telah diselamatkan dan dihantar ke klinik veterinar berhampiran bagi tujuan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Sajidan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.

"Polis ingin menasihati orang ramai supaya tidak menganiaya dan khianat terhadap haiwan kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang. 

"Jika terdapat sebarang insiden melibatkan gangguan haiwan, orang ramai diminta untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, KK Super Mart dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan kakitangan terlibat telah dipanggil ke ibu pejabat dan ditamatkan kontrak serta-merta.

Pihak pengurusan rangkaian kedai serbaneka itu juga memaklumkan telah menghubungi pusat penjagaan haiwan dan bersedia menanggung kos rawatan haiwan tersebut.

“Kami dengan tegas mengecam sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan tidak bertolak ansur dengan tindakan demikian.

“Satu siasatan dalaman telah dijalankan di Perak dan ibu pejabat dan tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terlibat telah diambil,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan