AM > BERITA

Bubur Lambuk, Ejen Perpaduan Pelbagai Kaum - Wan Rosdy

09/03/2025 08:55 PM

LIPIS, 9 Mac (Bernama) -- Hidangan makanan tradisional seperti bubur lambuk yang menjadi juadah setiap kali menjelang Ramadan, berupaya menjadi ejen perpaduan pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata hidangan istimewa ketika berbuka puasa itu, bukan sahaja diminati dan menjadi pilihan kebanyakan umat Islam ketika berbuka puasa, tetapi juga turut digemari dan dekat di hati semua rakyat tanpa mengira warna kulit, pangkat dan status.

“Kita dapat lihat bagaimana program memasak bubur lambuk seperti yang diadakan hari ini berjaya mengumpulkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Mungkin menu ini berasal dari tradisi Melayu tetapi ia tetap disukai semua kaum.

“Saya sendiri ada bertanya kepada peserta kaum India yang menyertai program masak bubur lambuk perpaduan ini dan mereka mengakui sangat menyukainya,” katanya kepada media pada Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Pahang di Dataran SantuariTanjung Gahai di sini hari ini. 

Turut hadir progam anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama kerajaan Pahang ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man.

Program ini yang dianjurkan secara serentak di seluruh Pahang bermula semalam dan hari ini itu melibatkan 400 peserta daripada 27 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 28 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebanyak 42,300 bekas bubur lambuk  yang dimasak menggunakan 15 periuk, telah diedarkan secara serentak di seluruh negeri bagi juadah berbuka puasa.

Wan Rosdy berkata inisiatif program sebegini bukan sekadar sebagai simbolik keharmonian antara kaum di negara ini, tetapi juga sebagai medan untuk mengukuhkan lagi perpaduan yang terbina dalam masyarakat. 

“Kita tidak mahu sejarah hitam seperti 13 Mei berulang. Pemimpin perlu menjadi suara pendamai dan bukan pencetus perpecahan. Negara ini milik semua dan kita perlu bersama-sama memastikan keamanan serta kemajuan dikekalkan,” katanya.

Wan Rosdy ketika ditanya berkenaan pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau berkata antara hal dibincangkan ialah pembinaan Hentian Rawat dan Rehat (RNR) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) antara Bentong ke Gua Musang, Kelantan.

“Sebanyak dua atau tiga RNR sementara dengan kos RM2.5 juta akan dibina sepanjang laluan 300 kilometer itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan Kerajaan Selangor telah bersetuju memenuhi permintaan kerajaan Pahang untuk menaikkan tarif bekalan air mentah ke negeri itu, tetapi kadarnya tidak boleh didedahkan sebelum dibawa ke mesyuarat exco untuk dimuktamadkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan