Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Mahu Guna Kepakaran Anak Tempatan Tingkat Keselamatan Siber Negara - Setiausaha Akhbar PM

11/03/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Anak-anak tempatan berkepakaran dalam keselamatan siber diseru bekerjasama dengan kerajaan agar ekosistem keselamatan siber di negara ini dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh.

Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 hari ini. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran tempatan dalam berhadapan cabaran keselamatan siber.

“Keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang,” katanya.

Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Beliau berkata dalam mesyuarat tersebut Perdana Menteri sekali lagi menegaskan mengenai kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara. 

Tunku Nashrul berkata kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil maklum dan berbincang mengenai pembentangan berhubung situasi semasa keselamatan siber negara yang secara umumnya menunjukkan trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 hingga 2024.

“Turut dibentangkan adalah status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] yang terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) dan pakar keselamatan siber,” katanya.

Tunku Nashrul berkata pembentangan lain merujuk kepada penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN mengenai jenayah siber oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Council of Europe dan Interpol pada Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan