Empat Anggota Polis Cedera Dalam Kemalangan Di KM257 PLUS

12/03/2025 12:15 AM

IPOH, 11 Mac (Bernama) -- Empat anggota polis mengalami kecederaan selepas kenderaan mereka naiki terbalik di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara dekat Kuala Kangsar petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata kejadian berlaku kira-kira 3 petang itu membabitkan anggota polis kontinjen negeri Kedah.

"Kesemua mangsa ingin pulang ke kontinjen Kedah, bagaimanapun keadaan cuaca ketika kemalangan adalah hujan dan jalan licin menyebabkan mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dan hanya seorang mangsa dimasukkan ke wad, manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya ada menerima panggilan berkaitan kemalangan itu, namun pihak PLUS memaklumkan kes telah selesai.

"Mula-mula memang ada panggilan masuk tentang kemalangan itu, pihak kami baru nak dispatch jentera keluar tetapi dapat panggilan semula dari pihak PLUS pada 4.13 petang, kes telah selesai dan tidak memerlukan kehadiran pihak bomba," katanya.

Terdahulu, PLUS menerusi hantaran di laman X di akaun @plustrafik memaklumkan berlaku kemalangan pada 3.47 petang di KM257 PLUS arah utara dari Ipoh (U) ke Kuala Kangsar dengan lorong kiri terhalang, namun trafik terkawal dan pengguna diminta memandu secara berhati-hati.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan