Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Ucap Takziah Kepada Mangsa Banjir Di Beaufort- Shamsul Iskandar

11/03/2025 03:44 PM

BEAUFORT, 11 Mac (Bernama) -- Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin hari ini menyampaikan ucapan takziah dan rasa sedih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa banjir di Beaufort di sini.

Beliau berkata Perdana Menteri amat prihatin terhadap penduduk terjejas akibat banjir di kawasan itu dan berusaha memberikan bantuan untuk meringankan beban mereka, justeru pihaknya menyeru semua agensi persekutuan serta negeri bersama-sama melaksanakan misi pascabanjir di Sabah.

Shamsul Iskandar berkata apa yang paling penting adalah keterlibatan kesemua agensi persekutuan dan negeri dalam menghulur bantuan, seperti membersihkan rumah mangsa yang terlibat, untuk mempercepatkan kerja-kerja pascabanjir kerana tidak lama lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri.

"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan sedih Perdana Menteri serta keprihatinan beliau kepada mangasa banjir di kawasan Beaufort. Kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini, yang menempatkan 412 mangsa daripada 147 keluarga.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Ad Banner

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 29 PPS di Sabah kekal tidak berubah dengan 4,530 orang daripada 1,488 keluarga setakat tengah hari ini melibatkan empat daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata jumlah mangsa banjir tertinggi adalah di Beaufort, dengan tujuh PPS menempatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga, manakala di Membakut, 914 orang daripada 312 keluarga berada di lima PPS.

Sementara itu Shamsul Iskandar berkata kerjasama erat kerajaan negeri dan persekutuan sudah pasti dapat mencari jalan penyelasaian mengatasi masalah banjir di kawasan Beaufort.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri serta agensi persekutuan dan negeri yang terlibat yang membantu semasa berlaku bencana banjir," katanya.

Selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, beliau bersama rombongan turut melawat beberapa mangsa banjir di Kampung Melati dan Kampung Kelabu di Beaufort, serta Kampung Brunei di Membakut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan