Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Maxis, Huawei Jalin Kerjasama Pacu Operasi Rangkaian Pintar Berkuasa AI Dan ML

12/03/2025 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan operasi rangkaian pintar melalui kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).

Maxis dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital syarikat dengan mengintegrasikan teknologi rangkaian pintar yang boleh mengoptimumkan diri secara automatik bagi meningkatkan pengalaman pengguna dan kecekapan operasi.

Kerjasama itu dimeterai hari ini pada Kongres Mudah Alih Sedunia 2025 di Barcelona dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di hadapan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis Goh Seow Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun, yang mewakili organisasi masing-masing.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama, Maxis dan Huawei akan melancarkan projek bersama yang komprehensif untuk mengintegrasikan teknologi AI dan ML dalam operasi rangkaian Maxis.

“Maxis, yang sudah menggunakan AI dalam operasinya, akan meneroka lebih banyak peluang untuk meningkatkan pengalaman rangkaian pelanggan melalui pemantauan kualiti perkhidmatan berkuasa AI dan ML, pengoptimuman rangkaian automatik serta pengesanan isu dan penyelesaian pantas bersifat ramalan,” menurut kenyataan itu.

Maxis turut memaklumkan kerjasama itu akan membantu syarikat menubuhkan Pusat Operasi Rangkaian Pintar (NOC) melalui automasi yang dipacu AI, mengurangkan proses manual, meningkatkan jaminan kualiti dan kecekapan operasi.

Ad Banner

Sementara itu, Goh menekankan komitmen syarikat terhadap transformasi digital dipacu AI, dengan menyatakan bahawa kerjasama itu mencerminkan pendigitalan berterusan mereka ke arah operasi rangkaian pintar yang lancar, masa nyata dan berkesan.

“Dengan memperluas penggunaan AI dan ML dalam rangkaian yang boleh mengoptimumkan diri, kami boleh memudahkan lagi proses, meningkatkan pengalaman rangkaian dan meneroka penyelesaian baharu yang inovatif.

"Kami akan terus menjadi pengguna pintar AI, memanfaatkan keupayaannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan memacu kecemerlangan operasi,” katanya.

Sun, sebaliknya menekankan kepakaran AI syarikat dalam operasi rangkaian, dengan menyatakan bahawa Huawei telah meningkatkan usahanya untuk menyelidik dan menggunakan teknologi AI dalam operasi rangkaian, pengoptimuman dan perkhidmatan.

“Kami komited untuk menyokong Maxis dalam membina rangkaian yang cekap, boleh dipercayai dan pintar. Selain meningkatkan operasi dengan AI dan ML, kami juga akan mengintegrasikan pengurusan rangkaian pintar dengan operasi perniagaan pantas untuk Maxis, membolehkan pembukaan saluran pendapatan baharu, mempercepatkan inovasi perkhidmatan dan meningkatkan nilai untuk pelanggan,” katanya.

Kerjasama itu dibina atas perkongsian jangka panjang Maxis dan Huawei untuk mempercepatkan inovasi rangkaian dan mengukuhkan visi bersama mereka dalam memacu transformasi digital, termasuk dalam teknologi komunikasi generasi akan datang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan