Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Maxis Perkenalkan Mia Untuk Pelanggan Perniagaan

13/03/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia memperkenalkan Mia (Maxis Intelligent Assistant), perkhidmatan concierge inovatif dikuasakan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) untuk pelanggan perniagaan.

Direka khusus untuk memudahkan pengalaman pelanggan di portal layan diri digital Maxis Business Hub (MBH), Mia menggabungkan AI perbualan dengan automasi aliran kerja pintar bagi menyampaikan pengurusan perkhidmatan perayauan yang lancar untuk perniagaan.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mia melakar kemajuan baharu dalam penyelesaian dipacu AI oleh Maxis Business, bahagian B2B Maxis sebagai perkhidmatan chatbot berpandu pintar yang menawarkan sokongan perayauan segera 24/7, cadangan pintar dan yang diperibadikan.

“Dengan Mia, pelanggan akan dapat mengakses maklumat dan menyelesaikan tugas yang berkaitan dengan akaun dan perkhidmatan mereka dengan mudah menggunakan interaksi gaya perbualan, memastikan pengalaman yang lebih pantas dan intuitif.

“Ini bermakna kurang masa dihabiskan untuk pertanyaan dan lebih banyak masa memfokuskan pada perkara yang paling penting bagi perniagaan mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine dalam kenyataan yang sama berkata Mia mencerminkan komitmen syarikat dalam memanfaatkan AI sebagai pemacu inovasi.

Ad Banner

“Dengan menyepadukan Mia ke dalam pengalaman digital kami, kami mencipta antara muka yang lancar dan intuitif bagi memperkasakan pelanggan mengurus perkhidmatan serta keperluan mereka.

“Dilengkapi dengan kecerdasan kontekstual, Mia memahami niat dan interaksi pengguna, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhannya,” katanya.

Mia ialah satu lonjakan dalam inovasi Gen AI, dikuasakan oleh teknologi canggih AWS.

Dibina di atas Amazon Bedrock dan menampilkan model bahasa besar (LLM) terkemuka, penyelesaian perintis berkenaan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur awan terkemuka industri AWS.

Pengurus Negara, Malaysia, AWS Pete Murray berkata pelancaran Mia oleh Maxis menunjukkan bagaimana perusahaan terkemuka Malaysia boleh memanfaatkan Gen AI melalui Amazon Bedrock untuk mengubah pengalaman pelanggan.

“Dengan membangunkan Mia di atas infrastruktur awan selamat serta rangkaian perkhidmatan canggih yang komprehensif oleh AWS, Maxis membuktikan bagaimana perusahaan di Malaysia boleh mencipta impak perniagaan sebenar.

“Ini hanyalah permulaan dan kami berharap dapat meneruskan kerjasama jangka panjang dengan Maxis, memanfaatkan AWS bagi memberikan yang terbaik kepada pelanggan mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Maxis telah mengintegrasikan AI, pembelajaran mesin dan Gen AI merentasi operasinya bagi meningkatkan kecekapan serta memperkayakan pengalaman pelanggan.

Syarikat itu terus meneroka cara baharu untuk memanfaatkan keupayaannya, mendorong inovasi digital dan memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan perniagaan ke pengguna (B2C) serta perniagaan ke perniagaan (B2B).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan