KOTA BHARU, 13 Mac (Bernama) -- Seorang pemuda Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, pernah dianggap tidak mempunyai harapan untuk pulih selepas berdepan kegagalan buah pinggang akibat corak pemakanan tidak sihat.
Muhd Idzwan Syafiq kini mampu menjalani kehidupan lebih sihat tanpa perlu bergantung kepada rawatan dialisis selepas menunjukkan disiplin tinggi dalam usaha mengubah gaya hidup.
Kisah beliau bermula dengan berat badan mencecah 190 kilogram (kg) akibat tabiat pemakanan yang tidak terkawal, termasuk makanan segera seperti nuget dan makanan tinggi garam serta gula.
“Saya mula sedar bahawa jika tidak berubah, saya akan terus bergantung kepada dialisis seumur hidup.
“Selepas enam sesi rawatan dialisis, saya mengalami jangkitan kuman akibat parut gout yang banyak di tangan dan badan, menyebabkan saya perlu mencari alternatif lain untuk kembali sihat,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 di sini hari ini.
Muhd Idzwan Syafiq bukan sahaja menghidap gout pada usia 25 tahun, tetapi mengalami komplikasi kesihatan lain seperti masalah tulang dan darah beku di paru-paru.
Namun, segalanya berubah apabila beliau bertekad mengawal pemakanan dan menurunkan berat badan secara drastik kepada 55kg dalam tempoh enam bulan, sekali gus membantu mengurangkan tahap penyakit buah pinggangnya dari tahap lima ke tahap tiga.
Beliau juga pernah melalui detik sukar apabila terjatuh dari tangga rumahnya pada 2019, menyebabkan pendarahan yang akhirnya membentuk darah beku, menambah komplikasi kesihatannya.
“Saya pernah menjalani empat pembedahan dari 2019 hingga 2022 bagi merawat masalah tulang belakang. Namun, kesakitan itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang demi kesihatan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare Prof Dr Ab Aziz Al-Safi berkata selama 13 tahun beroperasi, pusat penjagaan kesihatan itu telah membantu lebih 5,000 pesakit kronik meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Kami menggunakan teknik rawatan alternatif berasaskan bukti saintifik seperti mandian air panas, sauna, urutan dan bekam bagi membantu pesakit.
“Paling penting, pesakit buah pinggang perlu menjaga pemakanan, mengurangkan pengambilan protein haiwan dan menggantikannya dengan sumber protein daripada sayur-sayuran, barli serta madu,” katanya.
Dr Ab Aziz berkata ramai pesakit gagal mengawal penyakit mereka kerana tidak memberi perhatian kepada aspek pemakanan, sedangkan ia adalah faktor utama dalam menguruskan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.
Beliau berkata perubahan gaya hidup tidak hanya membantu pesakit mengurangkan kebergantungan kepada ubat-ubatan, malah membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih berkualiti.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial