Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ikan Asing Invasif Ancam Ekosistem Perairan Sarawak

21/05/2025 04:09 PM

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Spesies ikan asing invasif seperti ikan bandaraya dan ikan keli Afrika dikenal pasti sebagai antara ancaman utama kepada ekosistem ikan asal Sarawak, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Beliau berkata kehadiran ikan asing bukan sahaja mengancam spesies ikan tempatan seperti empurau dan tengadak malah turut menjejaskan keseimbangan alam sekitar serta memberi kesan kepada ekonomi komuniti setempat yang bergantung kepada sumber perikanan darat.

“Ada ikan asing ini diternak secara komersial dan saya berharap penternak tidak sewenang-wenangnya melepaskan ikan ini ke sungai atau tasik kita," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Chee Kadir (GPS–Kabong) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi telah melaksanakan program pemburuan ikan asing invasif di Sungai Sarawak untuk mengurangkan ancaman spesies tersebut, selain turut meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu itu dan menjalankan kajian inventori perikanan darat.

“Jabatan Pertanian Sarawak sememangnya menjalankan program pelepasan anak ikan asli seperti empurau, tengadak, udang galah, lampan jawa dan sebagainya di sungai seluruh Sarawak sebagai langkah membaik pulih ekosistem dan menambah populasi ikan sungai,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata di daerah Kabong, 5,000 benih ikan lampan dilepaskan di kolam terbuka Tanjung Kembang pada September 2022 manakala pada November 2024, 6,000 benih ikan tengadak dilepaskan di Rumah Jambu Rantau Sukat Orban.

Ad Banner

Selain perairan darat, Dr Abdul Rahman berkata usaha turut ditumpukan ke arah memperkukuh sumber perikanan laut dengan 201,972 tukun tiruan dilabuhkan di 77 kawasan laut Sarawak hingga tahun lepas.

“Di perairan Kabong sahaja, 17 tukun dilabuhkan pada Julai 2024 dan 17 lagi dijadualkan pada Ogos ini. Projek ini dibiayai dengan peruntukan RM20 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM30 juta daripada kerajaan Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan