JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Kaunter semakan dan bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi tumpuan ramai dan mula diserbu pengunjung sejak dibuka pagi tadi, berikutan tawaran diskaun hingga 50 peratus bagi saman terpilih pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor bermula hari ini hingga Ahad.
Diadakan di Toppen Shopping Centre, di sini selama tiga hari, pengunjung yang ditemui Bernama memberitahu mereka tiba seawal 9 pagi dan tidak mahu melepaskan peluang melangsaikan saman tanpa 'terlalu membocorkan poket'.
Lee Chee Chong, 53, berkata dia berpuas hati dengan perkhidmatan pantas di kaunter itu tanpa perlu menunggu lama untuk membayar saman.
“Saya sampai sini kira-kira 9.40 pagi dan tidak sampai sejam, semua tiga saman membabitkan kesalahan letak kenderaan sudah selesai dibayar dengan jumlah RM240. Bayar pun mudah boleh pakai kad (debit dan kredit), jadi lebih mudah,” katanya.
Ramai pengunjung yang ditemui juga menzahirkan terima kasih kerana program sedemikian membantu mereka menyelesaikan urusan saman trafik dengan pantas menerusi penyediaan lapan kaunter termasuk satu dikhususkan kepada warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya bagi menyemak dan membayar saman.
Sementara itu, Pegawai Turus Pengurusan Saman Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Inspektor Darlina Tumin berkata untuk hari pertama ini, orang ramai mula beratur seawal 9 pagi meskipun kaunter dibuka pada 10 pagi hingga 6 petang.
"Kita lihat orang ramai bertumpu ke sini dahulu, ambil peluang ini datang ke kaunter untuk periksa dan bayar saman trafik secara terus.
“Jadi saya jangkakan ramai yang akan hadir merebut peluang melakukan pembayaran saman kerana setakat ini, untuk tahun ini belum ada lagi tawaran pembayaran saman hingga 50 peratus di Johor,” katanya.
Dengan sambutan yang menggalakkan ini, beliau menjangkakan sekurang-kurangnya RM150,000 kutipan saman trafik terpilih mampu diraih untuk hari ini.
Bertemakan “Belia MADANI, Yakin Boleh!” PMR Johor dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan PMR 2025 Johor pada 3 petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial