Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rakyat Semakin Memahami Aspirasi Kerajaan MADANI- KSN

24/05/2025 03:29 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Sambutan memberangsangkan terhadap mana-mana Program MADANI Rakyat (PMR) termasuk yang sedang berlangsung di Johor, menunjukkan rakyat semakin memahami dan menghayati aspirasi kerajaan MADANI.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata program selama tiga hari di Toppen Shopping Centre merupakan penganjuran berskala sederhana, namun berjaya menarik lebih 45,000 pengunjung setakat petang semalam, iaitu melebihi sasaran awal 10,000 pengunjung.

“Kita sasarkan hanya 10,000 orang, tapi hingga semalam dah capai 45,000 pengunjung. Masih ada sehari lagi, insya-Allah kita boleh capai hingga 50,000 orang.

“Ini menunjukkan rakyat semakin mendekati program yang dilaksanakan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

PMR 2025 Johor melibatkan penyertaan 19 kementerian dan agensi, dengan memberi tumpuan khusus kepada golongan belia menerusi tema “Belia MADANI, Yakin Boleh!”.

Antara tarikan utama program ialah penyediaan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti pembaharuan pasport dalam tempoh dua jam oleh Jabatan Imigresen Malaysia, kaunter semakan dan pembayaran saman, serta pelbagai perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan agensi persekutuan.

Ad Banner

Shamsul Azri berkata penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah memberi pendedahan secara langsung kepada orang ramai mengenai konsep MADANI yang menjadi teras pentadbiran negara.

“Kita nak rakyat faham apa itu MADANI, dan apa yang kerajaan cuba sampaikan. Melalui program sebegini, rakyat boleh lihat sendiri inisiatif dan kemudahan yang disediakan untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata melalui pendekatan bersemuka dan interaktif sebegini, penerangan mengenai dasar kerajaan yang kurang difahami oleh rakyat, akan lebih berkesan.

“Semua yang kita buat adalah untuk rakyat. Kita turun padang supaya rakyat tidak rasa terpinggir dan mereka tahu kerajaan sentiasa bersama mereka,” katanya.

PMR 2025 Johor ini hanyalah berskala kecil yang pada awalnya disasarkan akan menarik lebih 25,000 pengunjung seperti diumumkan penganjur Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Johor menjadi lokasi kedua selepas Sabah (9-11 Mei) bagi pelaksanaan siri jelajah PMR tahun ini, yang seterusnya akan diadakan di Lumut, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Lama, Kelantan; Nilai, Negeri Sembilan; Baling, Kedah; Jasin, Melaka; dan Bintulu, Sarawak.

PMR kini menjadi pentas strategik menyatukan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, serta agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyampaikan maklumat, peluang dan khidmat secara langsung kepada rakya+t.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan