Oleh Nazira Hasanah Nasarudin
LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Di tengah terik mentari, dari jauh kelihatan susuk gadis tinggi lampai membersihkan pesawat udara mikroringan di kawasan Aircraft Static Display di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Sebaik disapa, wanita muda berkulit sawo matang, dengan senyuman manis sentiasa terukir, ramah memberikan penerangan tentang pesawat kecil berkenaan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan ringan Flytrike yang turut mengambil bahagian dalam pameran edisi ke-17 itu.
Melihat raut wajahnya tiada siapa menyangka Wak Elizabeth a/p Tan Say Hong,19, sebenarnya seorang daripada juruterbang syarikat itu dan lebih menarik wanita ini berasal dari suku kaum Semai, di Cameron Highlands dan berdarah kacukan Cina.
“Saya pun tak pernah terfikir nak jadi juruterbang. Tetapi disebabkan impian ayah saya yang dari kecil mahu menjadi pilot, saya terus minat dan ingin mencuba,” katanya ketika ditemui Bernama di Aircraft Static Display di MIEC, di sini.
Beliau berkata minatnya dalam bidang penerbangan bermula apabila bermain sukan paragliding (luncur layar) selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan sejak itu mencetuskan minat dan cita-cita untuk menjadi juruterbang.
“Pembentukan karier awal saya bermula di Flytrike, sebuah syarikat penerbangan ringan swasta yang menawarkan perkhidmatan tandem.
“Saya belajar di bawah mereka sampai habis penerbangan solo pertama. Sekarang saya sedang menjalani kursus tandem. Hanya sihat tubuh badan dan tidak buta warna, asalkan kaki boleh mencecah ke throttle pun sudah cukup sebenarnya,” kata anak kedua dari empat beradik itu.
Pada masa sama, beliau juga ingin membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai, termasuk oleh masyarakat Orang Asli selagi keazaman dan tekad untuk berjaya itu ada dalam diri.
“Saya berasal daripada suku Semai. Ibu saya Orang Asli dari Batu 17, Jalan Tapah, Cameron Highlands yang memang membesar di hutan yang tiada Internet dan peti sejuk. Apabila berkahwin dengan bapa saya yang berbangsa Cina, mereka berpindah ke Petaling Jaya, Selangor.
“Jadi untuk berjaya sebenarnya tidak ada apa yang mustahil tidak kiralah dari mana kita berasal dan latar belakang kita,” katanya yang kini sedang dalam proses mengumpul jam penerbangan untuk melengkapkan lesen juruterbang sepenuhnya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa teruja sewaktu pertama kali berpeluang menyertai LIMA’ 25, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat secara dekat barisan pesawat dan helikopter daripada pelbagai negara yang dipamerkan di Tarmac, MIEC.
Mengulas tentang pesawat ringan yang dikendalinya, Elizabeth berkata pesawat udara mikroringan jenis Pegasus Quantum seberat 409 kilogram (kg) ini boleh memuatkan penumpang dan pemandu, agak unik dan berbeza dengan kapal terbang konvensional.
“Sistem kawalan pesawat itu berfungsi secara bertentangan, jika tolak untuk naik, tarik untuk turun. Reka bentuk terbuka juga memberikan pengalaman terbang yang lebih immersive, juruterbang merasai sepenuhnya angin dan suasana sekitar, berbanding hanya melihat melalui tingkap kecil pesawat komersial,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial