LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Mereka mungkin masih kecil, tetapi semangat yang ditunjukkan dengan segak berpakaian sut juruterbang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pakaian taktikal STAR Team di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), sudah cukup membayangkan mereka bersedia jadi wira negara.
Dua beradik berkenaan iaitu Perwira Karl Rezky, 9, dan adiknya Perwira Karl Aisy, 7, yang kelihatan bangga mengenakan pakaian seragam itu, sememangnya meminati bidang pertahanan dan keselamatan sejak kecil sehinggakan tidak pernah ketinggalan menghadiri LIMA setiap kali ia diadakan, walaupun tinggal di Puchong.
Ibu mereka Awani Saad, 37, berkata anak sulungnya Perwira Karl Rezky, amat meminati dunia aeroangkasa dan gemar menonton video berkaitan pesawat serta pertunjukan udara menerusi platform YouTube dan media sosial.
“Manakala adiknya, Perwira Karl Aisy pula mengikuti jejak minat suami saya yang juga jurugambar, mengumpul patch penguatkuasaan dan ketenteraan yang diperoleh dalam setiap tugasan rasmi dan dari situ, dia mula mengenali unit-unit khas seperti STAR Team, serta minat dengan aktiviti lasak,” katanya.
Turut serta bersama mereka ialah rakan sebaya, Ahmad Beyazid Zulhafiz, 7, yang bersama-sama mengenakan pakaian juruterbang APMM kerana cita-cita untuk menjadi juruterbang tersohor suatu hari nanti.
Kehadiran mereka mendapat perhatian pihak APMM, apabila memberikan peluang terhadap tiga kanak-kanak tersebut menaiki pesawat Bombardier milik APMM yang dipamerkan di tarmac MIEC.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Maritim Malaysia sempena LIMA’25, menyatakan rasa bangga terhadap minat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut.
“Kehadiran mereka dalam pakaian lengkap menunjukkan betapa kuatnya impak pameran ini dalam menyemai semangat patriotisme dan minat terhadap kerjaya maritim sejak usia muda,” katanya.
LIMA ’25 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, menghimpunkan pelbagai aset udara dan maritim dari dalam dan luar negara, serta terus menjadi antara medan pameran pertahanan terpenting di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial