KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Persidangan angkasa bertemakan Space Economy Revolution: Trends, Technologies and Strategies ialah terjemahan tindakan untuk merealisasikan inisiatif MOSTI ASEAN Space Economy.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata ia merupakan program moonshot di bawah kementerian yang bertujuan menjadikan angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara.
Beliau berkata inisiatif itu berpotensi besar untuk merangsang pertumbuhan pelbagai sektor seperti pendidikan, pertanian, komunikasi, pengangkutan dan perkhidmatan berkaitan.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan peralihan daripada menjadi pengguna teknologi angkasa kepada pencipta dan penyedia teknologi angkasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam, sambil menambah kerjasama serantau dan global juga sangat mustahak.
Persidangan itu menghimpunkan 150 peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi agensi angkasa dari rantau Asia Tenggara, pemain industri, akademia, kementerian dan agensi kerajaan, serta organisasi antarabangsa. Acara itu dirasmikan oleh Mohd Nor Azman.
Persidangan yang diadakan bersempena dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi, Kedah itu mengetengahkan lima topik pembentangan, iaitu Emerging Global Space Economy; Strategic Policies and Global Cooperation; Talent, Education, and Workforce for the Space Economy; Emerging Trends in the Space Economy; dan Game-Changing Space Technologies.
Mohd Nor Azman turut menyaksikan pertukaran surat niat (Lol) antara UZMA Berhad & Global Systemes Asia Sdn Bhd; SpaceIn Sdn Bhd & Global Systemes Asia Sdn Bhd; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ocullospace Sdn Bhd; Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA); serta MYSA dan Ocullospace Sdn Bhd.
Sementara itu, MYSA dalam kenyataan sama memaklumkan persidangan itu merupakan platform strategik dalam menghimpunkan pakar sektor angkasa untuk membincangkan cabaran yang dihadapi pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, serta bertukar-tukar pandangan mengenai tindakan keutamaan yang boleh diambil.
Ia juga merangka inisiatif untuk meningkatkan keupayaan dan kemampanan pembangunan teknologi angkasa, merangka pelaksanaan sasaran bagi petunjuk prestasi utama (KPI) jangka pendek, sederhana dan panjang; serta meluaskan jaringan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi angkasa.
MOSTI melalui MYSA merupakan peneraju pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
“Penyertaan dan penglibatan MYSA dalam persidangan ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan bagi memperkasakan pembangunan kapasiti pihak-pihak terlibat dalam sektor angkasa negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial