Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nuklear Malaysia Lancar Buku Teknologi Dalam Pembiakan Tanaman Hiasan

28/05/2025 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) memperkasakan literasi sains dan teknologi nuklear di negara ini menerusi pelancaran buku ilmiah bertajuk Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan pada Pesta Buku Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini. 

Nuklear Malaysia dalam kenyataan memaklumkan penerbitan buku itu antara inisiatif di bawah sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap aplikasi teknologi nuklear secara aman serta memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.

“Buku ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan.

“Teknologi ini telah diterapkan di Malaysia lebih daripada tiga dekad lepas dan berjaya menghasilkan pelbagai tanaman baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri florikultur tempatan,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan Timbalan Menteri MOSTI Datuk Mohammad Yusof Apdal, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Rosli Darmawan.

Mohammad Yusof dalam ucapan pelancaran berkata MOSTI komited untuk memperluas penggunaan teknologi strategik termasuk teknologi nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar. 

Ad Banner

“Ini selaras dengan usaha MOSTI menjadikan sains dan teknologi sebagai teras kemajuan negara serta memperkasakan aplikasi teknologi nuklear secara aman dan bertanggungjawab dalam sektor strategik seperti pertanian,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga mencerminkan teras dalam Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Menerusi kenyataan itu, Nuklear Malaysia memaklumkan buku berkenaan mengandungi penerangan menyeluruh mengenai konsep biak baka mutasi, kaedah pelaksanaan serta dokumentasi varieti tanaman dibangunkan oleh penyelidik tempatan.

“Sejak awal 1990-an, Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih 30 mutan tanaman dan sekitar 60 peratus daripadanya adalah tanaman hiasan berbunga dan landskap,” menurut kenyataan itu.

Nuklear Malaysia memaklumkan industri florikultur negara dikenal pasti sebagai sektor pertanian bernilai tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, dengan teknologi nuklear mampu memberi nilai tambah menerusi pembangunan varieti tanaman hiasan bagi memenuhi pasaran domestik serta antarabangsa.

Agensi itu memaklumkan mereka menyasarkan buku berkenaan kepada penyelidik, pensyarah, penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah untuk dijadikan sumber rujukan serta pendedahan awal terhadap manfaat teknologi nuklear secara aman dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dan ekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan