KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- Sarawak memerlukan peruntukan yang lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh industri ruminan, seterusnya mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar sara diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata industri ruminan perlu diberi perhatian serius dalam perancangan pembangunan negeri agar Sarawak mampu berdikari dalam bekalan daging, khususnya sewaktu musim perayaan seperti Hari Raya Aidiladha.
“Saya juga mencadangkan agar diberi penumpuan khusus kepada Dasar Ruminan Sarawak yang diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS).
“Penekanan kepada perkara seperti peningkatan kualiti genetik dan pembiakan domestik yang lebih tinggi bagi melahirkan lebih ramai penternak, baik penternak kecil atau pelaburan syarikat-syarikat swasta yang lebih besar dan moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Miro berkata produktiviti industri ruminan di Sarawak berada pada tahap yang sangat rendah, dengan kadar sara diri masih belum mencapai 20 peratus.
Beliau berkata pembangunan industri makanan untuk ternakan tempatan juga wajar diberi perhatian sebagai komponen sokongan penting dalam rantaian industri penternakan.
Miro berkata beliau mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memperkenalkan insentif tertentu bagi menarik pelabur tempatan menubuhkan kilang makanan ternakan, sekali gus merancakkan ekosistem industri ruminan secara menyeluruh.
"DVSS dicadang untuk melaksanakan latihan dan kursus teknikal, pemindahan teknologi serta pengurusan ladang kepada mereka yang berminat menceburi industri penternakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial