Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LIMA'25 Tarik 450,000 Pengunjung, Pacu Minat Terhadap Industri Pertahanan Negara

24/05/2025 06:29 PM

LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) melabuhkan tirainya hari ini, dengan mencatatkan kehadiran kira-kira 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan, delegasi dalam negara dan antarabangsa serta orang awam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah ini menandakan edisi LIMA kali ini terus menjadi platform dan arena perkongsian pelbagai idea, teknologi terbaharu serta kerjasama strategik yang sangat penting untuk negara.

“Walaupun dalam keadaan suasana tidak menentu dan hujan seperti hari ini, di luar sana kita masih lagi nampak ramai orang berpusu-pusu masuk ke dewan pameran serta menyaksikan perkembangan teknologi yang sedang dilakukan.

“Tahun ini, sebanyak 860 pempamer mengambil bahagian dan angka ini adalah lebih tinggi berbanding LIMA’23 yang terdiri daripada 50 peratus pempamer tempatan dan 50 peratus pempamer luar negara, satu pencapaian yang sangat baik,” katanya dalam ucapan penutup LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Selama lima hari berlangsung, Mohamed Khaled berkata LIMA’25 juga merekodkan 1,400 pertemuan perniagaan antara syarikat (B2B) serta 920 sesi pertemuan antara perniagaan dan kerajaan (B2G).

Justeru, beliau berkata kesemua pencapaian itu memberi gambaran yang baik terhadap perkembangan dan masa hadapan industri pertahanan negara, sekali gus menjadi harapan dan sandaran negara untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan terhadap pihak luar.

Ad Banner

Selain daripada aspek komersial dan transaksi perniagaan, beliau berkata LIMA’25 turut melebarkan kemeriahan dan keunggulannya dengan merekodkan pertambahan bilangan pameran aset statik berbanding edisi sebelum ini.

Beliau berkata buat pertama kali juga LIMA’25 menampilkan high immersive experience dome atau dikenali sebagai A.T.M.O.S Sphere yang merujuk kepada Aeroangkasa, Teknologi, Maritim dan Kelestarian.

“Ini adalah satu gambaran bagaimana banyak lagi perkara yang kita tidak tahu di dunia ini dan kalau kita ingin menjadi bangsa yang berjaya, kita mesti mempunyai nilai untuk sentiasa belajar dan mencungkil perkara-perkara yang masih belum ada dalam pengetahuan kita,” katanya.

A.T.M.O.S Sphere adalah pameran berteknologi tinggi yang menggunakan teknologi 360 darjah dan imersi audiovisual bagi mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menerajui kemajuan dalam bidang darat, laut, udara dan seterusnya.

LIMA'25 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dan memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Pameran kali ini adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan