Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NADI, TM Tonjol Anjing Robotik AI Di LIMA'25

24/05/2025 09:09 PM

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin

LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Kelibat dua robot anjing berteknologi kecerdasan buatan (AI) adalah antara tarikan utama pengunjung pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sejak semalam.

Anjing robot berteknologi AI oleh National Aerospace Defence Industries Sdn Bhd (NADI), direka sebagai kenderaan darat tanpa pemandu berkaki empat (Q-UGV) untuk menyokong aplikasi keselamatan, pertahanan dan industri.

Jurutera Kanan NADI Group Wayne Lim berkata robot anjing dikenali sebagai Asuk itu dibangunkan dengan kerjasama Ghost Robotics dari Amerika Syarikat, yang berfungsi sebagai platform asas dalam strategi rangka panjang NADI untuk membina ekosistem tanpa pemandu yang pintar dan mampu beroperasi di darat, laut dan udara.

Beliau berkata nama Asuk merupakan gabungan elemen kebudayaan Sarawak dan pertahanan, dengan ‘asuk’ dalam dialek Sarawak membawa maksud anjing manakala singkatan ‘Asuk’ merujuk kepada ‘Anjing Siber Unit Khas’.

Selain itu, beliau berkata Asuk turut direka untuk beroperasi dalam keadaan cuaca sederhana, dengan penarafan IP67 yang mempunyai ketahanan terhadap percikan air dan habuk.

Ad Banner

“Mempunyai berat 50 kilogram (50kg), anjing robotik ini mampu beroperasi secara autonomi hingga 24 jam dan berkeupayaan menjalankan tugas peninjauan di kawasan berisiko tinggi seperti zon bencana, kawasan pertempuran dan tapak industri berbahaya. 

“Q-UGV direka untuk berkembang selari dengan kemajuan dalam teknologi AI, autonomi dan sensor. Fokus kami adalah untuk menjadi peneraju dalam pembangunan sistem tanpa pemandu yang mampu beroperasi dengan selamat dan berkesan dalam pelbagai situasi misi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Lim, NADI mengesahkan platform ini dilengkapi dengan muatan modular yang boleh disesuaikan mengikut keperluan sesuatu misi, dan ketika ini beberapa agensi pertahanan dan respons kecemasan negara termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia sedang menilai sistem berkenaan melalui demonstrasi teknikal dan ujian di lapangan.

Beliau berkata dilengkapi dengan Light Detection and Ranging (LiDAR), sensor inframerah atau terma, unit pengukuran inersia (IMU), kamera serta sensor kimia, anjing robotik itu ,mampu menjalankan tugas pemantauan, pengesanan ancaman dan penghantaran muatan dengan bantuan manusia yang minimum.

“Bagi memastikan keselamatan dan privasi awam, Q-UGV dilengkapi dengan had kelajuan diprogramkan serta fungsi pengelakan perlanggaran manakala frekuensi operasi pula diatur mengikut piawaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengelakkan gangguan isyarat,” katanya.

Sementara itu, Telekom Malaysia (TM) turut tidak melepaskan peluang memperkenalkan robot anjing yang direka untuk melaksanakan tugas peninjauan awal di kawasan berisiko tinggi dan sukar diakses termasuk bagi misi keselamatan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Naib Presiden Perniagaan Kerajaan TM One Mohamed Faisal Naina Mohamed berkata robot anjing seberat 20kg itu dibangunkan sejak tiga tahun lepas melalui kerjasama dengan syarikat robotik antarabangsa, sebagai antara inovasi syarikat telekomunikasi itu dalam menyokong sektor pertahanan dan keselamatan negara.

“Robot itu dilengkapi kamera 360 darjah, sensor LiDAR, sistem komunikasi digital dan keupayaan mengenal pasti halangan serta persekitaran dalam masa nyata. Ia turut memiliki ciri keselamatan terbina bagi mengelak pelanggaran dengan manusia atau objek lain.

“Ia mempunyai ketahanan air dan habuk pada tahap IP64, selain mampu membawa beban atau peralatan tambahan termasuk untuk tujuan pemadaman kebakaran dan penyemburan bahan kimia,” katanya.

Mohamed Faisal berkata teknologi berkenaan telah digunakan secara meluas di beberapa negara seperti China dan Eropah, terutama dalam operasi bomba dan penyelamatan.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau berkata pihaknya merancang untuk menambah baik keupayaan robot termasuk dari aspek mobiliti, ketahanan suhu tinggi serta kemampuan menyesuaikan diri dengan pelbagai permukaan untuk kegunaan dalam industri minyak dan gas serta situasi ekstrem lain.

LIMA ’25 yang merupakan edisi ke-17, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlangsung sejak 20 Mei lepas dan akan melabuhkan tirai hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan