Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pegawai Daerah Nilai Prestasi JPKK Di Perak

24/05/2025 04:30 PM

IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Pegawai daerah di Perak akan menilai prestasi 829 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Mei ini untuk menyambung atau menamatkan perkhidmatan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beberapa kriteria dinilai antaranya prestasi sepanjang tempoh perkhidmatan selain faktor umur dan kesihatan seperti yang ditetapkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Setiap ketua kampung hanya boleh berkhidmat hingga had umur 65 tahun. Selain itu, jika seorang ketua kampung itu mempunyai masalah kesihatan yang serius dan tidak mampu meneruskan perkhidmatan, kita terpaksa menggantikan dengan yang lain.

"Ketua kampung yang dilantik semula kita harap lantikan ini akan menyemarakkan semangat kita membangunkan negeri. Yang tidak dilantik jangan patah hati, teruslah beri sumbangan dan idea," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati MADANI yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kampung Jaya Setia dari daerah Kuala Kangsar dinobatkan sebagai johan Anugerah Sejati MADANI 2024 dengan membawa pulang piala iringan dan hadiah kemenangan berupa peruntukan projek infra berjumlah RM100,000.

Ad Banner

Kampung Telaga Nenas dari daerah Manjung pula menjadi johan Anugerah Desa Sejahtera Negeri Perak 2024 dengan menerima piala iringan dan hadiah kemenangan berupa penyaluran ke akaun JPKK berjumlah RM10,000

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan