KUALA NERUS, 24 Mei (Bernama) -- Projek Pengawalan Hakisan Pantai di daerah ini dijangka siap pada Januari 2027, kata Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Beliau berkata projek berkenaan yang dimulakan Julai 2023 melibatkan peruntukan RM90 juta daripada kerajaan Persekutuan dengan kemajuan fizikal setakat ini mencapai 24.5 peratus.
“Skop kerja merangkumi proses penambahan pasir (beach nourishment) sepanjang dua kilometer dan pembinaan 16 struktur pemecah ombak (breakwater) dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, projek itu bertujuan memulihara kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan, selain menghalang kejadian banjir pantai serta melindungi harta benda dan infrastruktur.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu juga dijangka mengaktifkan semula aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Sementara itu, Mad Zaidi berkata berdasarkan sistem MyProjek sehingga 19 Mei lalu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan 27 projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan nilai keseluruhan RM2.945 bilion.
Daripada jumlah itu, 22 projek melibatkan sumber air, tebatan banjir dan hakisan pantai yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala tiga projek bekalan air dikendalikan Jabatan Bekalan Air (JBA) dan dua projek pembentungan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).
“Bagi Terengganu, sebanyak RM287.8 juta peruntukan diluluskan di bawah RP5, RMK12 bagi tahun ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 24 projek baharu dimohon untuk dimasukkan ke dalam RMK13 bagi tahun 2026 dan kini dalam proses semakan bajet oleh Kementerian Ekonomi.
Terdahulu, Mad Zaidi meninjau projek berkenaan yang menjadi sebahagian daripada program turun padang PETRA Skuad Zon Timur selama dua hari di Kelantan dan Terengganu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial