Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengimbas Wajah, Pengesan Bom Dan Dron Perkukuh Keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN

24/05/2025 08:21 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kawalan keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN diperketat termasuk menggunakan sistem imbasan wajah, unit pengesan bom dan teknologi antidron bagi menjamin keselamatan delegasi dan petugas persidangan.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman DCP M.V. Sri Kumar berkata sistem imbasan wajah digunakan untuk memastikan individu yang sah dan dibenarkan sahaja boleh berada di lokasi persidangan.

“Selain mengimbas muka individu yang telah didaftarkan lebih awal, sistem ini juga mengesan pas yang digunakan setiap individu. Bermakna, tiada sesiapa boleh menggunakan pas milik orang lain untuk masuk,” katanya kepada Bernama di lokasi persidangan di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu mendapat kerjasama baik daripada orang ramai berikutan hebahan mengenai langkah keselamatan yang dibuat sepanjang persidangan berlangsung.

Dalam pada itu, kawalan turut melibatkan unit pengesan bom yang melakukan rondaan berkala di sekitar lokasi persidangan dan di dalam bilik-bilik mesyuarat.

Ad Banner

“Unit ini dilengkapi peralatan canggih untuk mengesan bahan letupan termasuk yang menggunakan bahan radioaktif dan cecair berbahaya. Anjing pengesan juga digunakan untuk mengesan risiko bahan letupan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sri Kumar berkata pihak polis turut menguatkuasakan larangan penerbangan dron tanpa permit di sekitar kawasan KLCC.

Beliau berkata PDRM menggunakan dua jenis alat antidron, iaitu pengesan yang berkeupayaan mengesan dron asing dan dron jammer yang mampu mengganggu frekuensi dron yang diterbangkan satu hingga dua kilometer dari alat berkenaan.

“Setakat ini tiada cubaan menerbangkan dron tanpa kebenaran dikesan, namun jika berlaku, Unit Dron PDRM akan bertindak segera dan menyerahkan suspek kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

 “Jika ada unsur jenayah, pendakwaan mengikut Kanun Keseksaan boleh dikenakan. Jika tidak, dron akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana menerbangkan dron tanpa permit di kawasan larangan,” katanya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menghimpunkan para pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama blok serantau itu.

Turut dijadualkan berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan