KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak kekal teguh dalam komitmennya melestarikan alam sekitar dengan memperluaskan kawasan perlindungan, memajukan industri kreatif dan menyelaraskan pembangunan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan percaya pemuliharaan alam sekitar bermula dengan kesedaran dan ia dapat dipupuk menerusi karya tempatan seperti dalam buku The Untamed Sarawak, yang berteraskan pengetahuan tempatan dan dilaksanakan mengikut piawaian global.
“Buku ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian biodiversiti Sarawak yang mengagumkan, malah ia menjadi simbol potensi kami untuk menjadi peneraju dalam pelancongan yang bertanggungjawab dan penjagaan alam sekitar.
“Kita perlu memberitahu dunia bahawa kita bukan sekadar berkata-kata, kita memelihara dan memulihara keajaiban alam semula jadi kita, untuk hari ini dan generasi masa hadapan,” katanya ketika melancarkan buku The Untamed Sarawak di sini hari ini.
Abdul Karim berkata keistimewaan penerbitan ini turut diserlahkan oleh penulisnya Bruce Teo yang telah mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan National Geographic, BBC dan pelbagai program pendidikan alam sekitar bertaraf antarabangsa.
“Menerusi pandangan beliau, dunia mula menyedari khazanah tersembunyi yang terdapat di bumi kita. Justeru, buku ini berperanan penting dalam mengetengahkan serta membuka potensi pelancongan negeri ini dengan lebih berkesan.
“Buku ini bukan sekadar perjalanan visual. Ia adalah alat yang berkuasa untuk pemuliharaan. Ia adalah suara untuk biodiversiti kita yang tidak bersuara dan ia adalah bukti nyata kepada kemampuan bakat anak Sarawak apabila dipandu dengan semangat, dedikasi dan visi,” katanya.
The Untamed Sarawak adalah buku panduan fotografi hidupan liar pertama yang pernah dihasilkan oleh warga Sarawak, bukan sahaja mencerminkan hasil kerja lapangan bertahun lamanya, tetapi turut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha negeri itu meraikan dan berkongsi khazanah alam semula jadi bersama dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial