TAWAU, 25 Mei (Bernama) -- Lebih 10,000 penduduk memperoleh manfaat daripada misi Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025, yang menjelajah hampir 400 kilometer merentasi enam daerah di Sabah bermula di Tuaran pada 16 Mei lepas dan berakhir di Tawau semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata penerima manfaat adalah mereka yang hadir dan menyertai 34 program yang diadakan atau mendapatkan perkhidmatan disediakan melalui kaunter-kaunter yang dibuka di lokasi Kembara Kasih KPWKM 2025.
“Kembara Kasih ini juga berkesempatan menziarahi 14 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang berada di sekitar kawasan laluan konvoi. Kunjungan kita diharap dapat meringankan beban, memberikan motivasi dan semangat kepada mereka untuk bangkit meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Kembara Kasih KPWKM 2025 menjelajah di Zon 1 iaitu Tuaran, Papar dan Penampang pada 16 hingga 18 Mei, sebelum bergerak ke Zon 2 melibatkan Lahad Datu, Kunak dan Tawau pada 22 hingga 24 Mei.
Nancy berkata lima elemen utama ditekankan dalam memenuhi pengisian program iaitu pemerkasaan institusi keluarga, pembelaan dan peningkatan profesionalisme wanita, pembangunan keupayaan dan potensi masyarakat, pemantapan dan kesejahteraan komuniti serta pembangunan sektor penjagaan.
Beliau berkata bagi elemen pemerkasaan institusi kekeluargaan, LPPKN melaksanakan tiga program iaitu Forum Pekerti untuk ibu bapa di Penampang dan Program Kesejahteraan Lelaki di Dewan Markas Operasi Pasukan Polis Marin di Lahad Datu serta Program KASIH Remaja @ Kafeteen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, Tuaran.
Menerusi elemen pembelaan dan peningkatan profesionalisme wanita, Program Toleransi Sifar Keganasan diadakan di Dewan Masyarakat Papar dengan penyertaan lebih 700 peserta.
“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengadakan jualan usahawan wanita bagi memberi peluang kepada peniaga wanita meluaskan pasaran produk mereka di samping menjana ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, lima program dilaksanakan menerusi elemen pembangunan keupayaan dan potensi masyarakat di bawah JKM, antaranya Program Citra Minda Intergenerasi dan perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas di Benoni, Papar.
Turut diadakan dalam kembara itu adalah Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di SMK Limbanak, Penampang dan Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat Kunak, program My Special Got Talent melibatkan pelatih orang kurang upaya di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu dan program penyerahan plak taska berdaftar di TASKA Superkids di Tawau.
Bagi elemen pemantapan dan kesejahteraan komuniti, Nancy berkata Yayasan Kebajikan Negara melaksanakan empat program Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan berjaya memberi perkhidmatan kepada lebih 3,000 klien.
“Menariknya, Kembara Kasih KPWKM 2025 turut melakar sejarah tersendiri apabila PSSS Bergerak yang pertama di Sabah turut dilancarkan,” katanya.
Semalam, Nancy berkata program berkenaan berjalan lancar hasil komitmen tinggi dan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Sabah.
Nancy dalam ucapannya pada majlis penutupan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KPWKM Farah Adura Hamidi berkata program itu diharap dapat diperluaskan lagi ke negeri lain.
Kembara Kasih KPWKM 2025 turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi Program Jualan Rahmah MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial