TAWAU, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) wajar mendapat pujian atas inisiatif proaktifnya dalam menyebarluaskan advokasi berkaitan gangguan seksual bagi meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur, bangsa mahupun agama dan kebanyakan kes berkenaan dilakukan oleh pelaku terdekat dengan mangsa.
"Masih ramai mangsa takut melaporkan kejadian kerana tekanan sosial atau tidak tahu saluran untuk mendapatkan bantuan. Mangsa boleh memanfaatkan inisiatif diperkenalkan KPWKM iaitu Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS).
"TAGS menawarkan alternatif kos rendah dan pantas untuk menangani aduan gangguan seksual, kita semua bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong mangsa untuk membela diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan program Kembara Kasih KPWKM 2025 dan penyerahan notis anti gangguan seksual di sini malam tadi, turut hadir pada program itu Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KPWKM Farah Adura Hamidi.
Joachim berkata tren peningkatan kes gangguan seksual di Malaysia membimbangkan dengan 788 kes dilaporkan berlaku tahun lepas berbanding 522 kes pada 2023, dan setakat Mac tahun ini terdapat 214 kes berlaku termasuk lima di Sabah.
Selain itu, beliau turut memuji keberhasilan Program Kembara Kasih KPWKM 2025 yang Menjelajah enam daerah di Sabah bermula 16 Mei di Tuaran, kemudian Papar, Penampang, Lahad Datu, Kunak dan berakhir di Tawau.
Beliau berkata rakyat Sabah khususnya wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya mendapat limpahan manfaat daripada 34 program dilaksanakan sepanjang kembara itu berlangsung.
"Program seperti Ziarah Kasih yang menyampaikan bantuan secara terus kepada klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mendapat sambutan positif masyarakat setempat. Ini bukti keprihatinan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial