KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Prinsip ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, tema Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini, perlu diterapkan sebagai teras dalam agenda dan visi blok serantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan perasmian pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini, beliau berkata tema itu merupakan pendekatan yang bersifat strategik dan berpaksikan nilai yang penting.
“Ia bukan sahaja mencerminkan aspirasi kita malah, tanggungjawab kita. Ia berteraskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN mesti bersandarkan dua tonggak utama, iaitu pertumbuhan yang saksama dan mampan serta daya tahan yang berpanjangan,” kata beliau.
Anwar turut menyatakan penghargaan atas sokongan semua pemimpin ASEAN dalam memastikan Kepengerusian Malaysia memacu Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan dilancarkan hari ini.
Pemimpin ASEAN yang hadir terdiri daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao sebagai pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial