Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sebak Dijemput Tetamu Allah Setelah 36 Tahun Peluk Islam

26/05/2025 12:52 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 26 Mei (Bernama) -- Tiada yang lebih bermakna buat Mohd Saufi Lim Abdullah, 71, apabila akhirnya dijemput menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci untuk menyempurnakan rukun Islam kelima selepas 36 tahun memeluk Islam. 

Berketurunan Baba dan Nyonya, Mohd Saufi yang dahulu dikenali sebagai Kris Lim menyifatkan detik penghijrahan kepada Islam sebagai perjalanan rohani paling besar dalam hidupnya dan peluang menunaikan haji merupakan impian yang telah dipendam sejak tiga dekad lepas.

“Sebak kerana saya terfikir kenapa tidak dari awal lagi saya diberitahu bahawa Islam ini benar...yang membolehkan kita membetulkan diri sendiri. Islam bukan sekadar ajaran tetapi satu cara hidup. Ia mengajar saya bagaimana menjadi manusia yang baik,” katanya ketika ditemui di Abraj Al Tayseer di sini baru-baru ini.

Mohd Saufi yang kini menetap di Bintulu berkata beliau memeluk Islam semasa berusia 35 tahun dan sebelum itu aktif sebagai pendakwah agama lain malah terlibat dalam beberapa misi ke luar negara termasuk ke Filipina.

“Apabila ekonomi merudum, saya dihantar bertugas ke sebuah rumah ibadat di Johor Bahru. Di sana saya berkawan dengan anak-anak Melayu yang memperlihatkan keindahan Islam. Mereka tunjukkan saya contoh yang baik, itu yang menarik hati saya,” jelasnya.

Ad Banner

Warga emas itu berkata sebelum memeluk Islam beliau didatangi mimpi aneh yang menjadi titik mula penghijrahan, melihat dirinya bergelut antara kepercayaan lama dan Islam.

“Saya pernah bermimpi, sebelah kaki saya berada dalam sampan manakala sebelah lagi di atas jeti. Sampan itu mewakili agama lama saya manakala jeti yang kukuh itu melambangkan Islam, agama yang suci,” katanya.

Mohd Saufi melafazkan dua kalimah syahadah di Majlis Agama Islam Johor pada April 1989, kira-kira sebulan selepas mengalami mimpi yang menjadi titik tolak penghijrahan kepada Islam.

“Saya anak sulung daripada 10 beradik, setakat ini tujuh daripada kami telah memeluk Islam. Antara doa utama saya di hadapan Kaabah ialah agar ahli keluarga saya yang belum menerima Islam turut mendapat hidayah.

“Saya berdoa agar Allah menjadikan saya sebagai cahaya yang boleh menarik mereka kepada Islam. Itu yang saya lafazkan saat pertama kali memandang Kaabah kerana apa yang paling saya sayang adalah keluarga,” katanya sebak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan