Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rancang Awal Pembelian Dan Pengeposan, Fokus Ibadah Menjelang Hari Wukuf

28/05/2025 10:07 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 28 Mei (Bernama) -- Jemaah haji disaran untuk merancang pembelian dan mengepos barangan lebih awal semasa berada di Tanah Suci bagi memastikan kelancaran urusan ibadah, khususnya menjelang Hari Wukuf selain untuk keselesaan jemaah semasa perjalanan pulang ke tanah air.

Pengurus Perkhidmatan Luar Lembaga Tabung Haji (TH) Mohamad Zamry Mohd Noor berkata seperti musim haji sebelum ini, kebanyakan jemaah cenderung membeli buah tangan dan cenderahati pada saat akhir sedangkan tempoh itu seharusnya ditumpukan sepenuhnya kepada ibadah terutama semasa Masyair.

"Jemaah haji digalak untuk terus menghantar barangan dibeli ke kaunter pengeposan disediakan di lobi bangunan penginapan tanpa perlu membawa naik ke bilik. Langkah ini dapat mengelak kesesakan ruang bilik yang boleh menjejaskan keselesaan selain tidak akan terlalu penat ketika pulang ke tanah air.

“Bayangkan jika jemaah bawa lebih 10 kilogram (kg) seperti mengangkat kampit beras. Perjalanan dari tempat penginapan ke lapangan terbang, termasuk menaiki tangga dan menyusun bagasi ke kabin pesawat, sangat membebankan. Akhirnya, jemaah keletihan ketika tiba di tanah air,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata setakat 18 Mei, lebih 85,000 kg barangan jemaah telah dipos ke tanah air sejak 29 April, dengan anggaran kos mencecah 1.5 juta Riyal Saudi.

Ad Banner

Selain itu, Mohamad Zamry berkata jemaah juga boleh menghantar naskhah al-Quran melalui perkhidmatan pos dengan setiap naskhah dibungkus dan dilekatkan pelekat khas, serta dikendalikan secara berasingan bagi memastikan ia selamat dan terpelihara.

"Mengikut perjanjian antara Tabung Haji dan syarikat penghantaran barangan, setiap bungkusan dilindungi jaminan takaful serta dijamin sampai ke Malaysia. Sekiranya berlaku kehilangan, syarikat penghantaran bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada jemaah haji.

"Bagi barangan bernilai melebihi RM1,000, jemaah juga boleh memilih untuk mengambil perlindungan insurans tambahan dengan membuat bayaran kepada syarikat penghantaran berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Zamry mengingatkan jemaah untuk tidak mengepos air Zamzam yang dikategorikan sebagai barangan larangan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Terdapat segelintir jemaah pada musim-musim haji terdahulu yang cuba menghantar air Zamzam dalam botol kecil melalui penghantaran kargo tanpa pengetahuan pihak pengendali dan tindakan ini akhirnya menyebabkan barangan mereka ditahan atau tidak sampai ke Malaysia," katanya.

Pada musim haji tahun ini, TH meluluskan lima syarikat logistik, termasuk anak syarikatnya TH Travel & Services Sdn Bhd, Post Malaysia Berhad, FGV Transport Services Sdn Bhd, MASkargo dan Logistics Sdn Bhd dan KTH Logistics Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pengeposan barangan jemaah haji di Tanah Suci.

Di Madinah, perkhidmatan itu disediakan di Hotel Saja Al Madinah, Hotel Emaar Royal dan Anwar Al Madinah Movenpick, manakala di Mekah ia ditawarkan di Abraj Al Janadriyah, Qasar Janadriyah, Rehab Janadriyah, Abraj Al Tayseer, Diary Al Saad, Land Premium dan Al Fajar Al Badee 5.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan