KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mempunyai potensi kukuh untuk kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan tenaga dan keterjaminan makanan, kata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa.
Beliau berkata negara-negara GCC yang terkenal dengan keupayaan kewangan dan dana pelaburan yang kukuh, menampilkan peluang berharga bagi ASEAN untuk menarik aliran masuk modal dan mengembangkan perkongsian pembangunan.
“GCC mempunyai potensi yang sangat kukuh dalam bidang perdagangan dan kerjasama pembangunan.
“Saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk ASEAN menarik lebih banyak pelaburan, lebih banyak pembiayaan daripada sekumpulan negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sempena sidang kemuncak serantau, Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 juga akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadualkan esok.
Maris berkata memandangkan ASEAN kini beralih kepada tenaga hijau dan berusaha mengukuhkan keselamatan tenaganya, adalah penting bagi perkumpulan itu bekerjasama dengan negara-negara GCC, memanfaatkan pengalaman mereka dalam bidang berkenaan untuk membina masa depan tenaga yang berdaya tahan.
Beliau berkata ini akan memberi kelebihan kepada rantau ASEAN.
Maris berkata ASEAN dengan industri agrimakanan yang kukuh turut menawarkan potensi besar untuk kerjasama dalam pelbagai sektor, menyokong usaha rantau Teluk dalam meningkatkan sekuriti makanan mereka.
Ditubuhkan pada 1981 dengan ibu pejabat di Riyadh, enam anggota GCC terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
ASEAN dan GCC mengadakan sidang kemuncak pertama mereka di Riyadh pada 2023, dan sidang kemuncak kedua esok dijangka dapat meluaskan kerjasama dua hala antara perkumpulan berkenaan dengan ketara, meningkatkan hubungan antara wilayah mereka ke peringkat seterusnya.
Mengenai kerjasama tiga hala dengan GCC dan China, Maris menekankan peranan ASEAN sebagai kuasa pusat, menyediakan platform untuk dialog yang bermakna bagi meningkatkan keselamatan dan mewujudkan peluang untuk memperdalam kerjasama.
"Saya fikir itu adalah kelebihan yang sangat baik bahawa kita boleh mengimbangi kepentingan kita antara persaingan kuasa besar, bekerjasama dalam bidang keselamatan, pembangunan ekonomi bersama. Ini adalah kekuatan utama ASEAN," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini dan esok dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial