Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia-Indonesia Setuju Terajui Penubuhan Majlis Halal ASEAN - Ahmad Zahid

26/05/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bersama-sama menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata majlis itu akan menjadi platform strategik untuk penyelarasan dasar, standard serta piawaian halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.

"Melalui penubuhan Majlis Halal ASEAN, kita akan memastikan ASEAN bukan sahaja menjadi hab halal global yang berdaya saing, inklusif dan mampan tetapi juga menjadi model dalam memimpin industri halal dunia dengan integriti dan piawaian yang tinggi.

"Inisiatif ini juga akan memastikan ASEAN menjadi peneraju dalam ekosistem halal global dengan piawaian yang diiktiraf dunia," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hantaran itu susulan pertemuan strategik Ahmad Zahid dengan Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia Haikal Hassan Baras sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kerjasama itu akan menjadi testimoni kejayaan Diplomasi Halal yang diperkenal oleh Malaysia untuk memperkukuh jenama halal negara di peringkat global. 

Ad Banner

Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk membuka laluan kemasukan produk halal dan memperluas pengiktirafan bersama sijil halal, satu langkah yang akan mewujudkan aliran perdagangan halal lebih lancar serta mesra industri selain menyokong peningkatan perdagangan intra-ASEAN.

Ahmad Zahid berkata langkah itu dijangka memberi impak positif terhadap permintaan pasaran halal di ASEAN yang mewakili lebih 700 juta penduduk.

Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal itu berkata Malaysia akan terus mempergiat usaha kerjasama dalam aspek pensijilan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja halal. 

Beliau berkata Malaysia turut menyokong penuh program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif dalam memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN.

"Dengan nilai pasaran halal global yang dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, ASEAN mesti tampil sebagai peneraju ekosistem halal serantau yang saling melengkapi dan berdaya saing," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata ia adalah kesinambungan daripada lawatan rasmi beliau ke Indonesia baru-baru ini yang menjadi titik tolak kepada kerjasama baharu lebih mendalam antara Malaysia dan Indonesia dalam menerajui pembangunan industri halal serantau.

Beliau berkata kedua-dua negara menzahirkan komitmen kukuh untuk melonjakkan kerjasama halal Malaysia-Indonesia ke tahap lebih tinggi dengan tumpuan memperkukuh kedudukan produk halal kedua-dua negara di pasaran serantau dan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan