Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ADB, Bank Dunia Lancar Pelan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN Di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Pada Oktober

26/05/2025 08:34 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia akan melancarkan bersama Rangka Kerja Kemudahan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG) pada Sidang Kemuncak ASEAN dengan Rakan Dialog, akhir Oktober depan, sekali gus menjadi langkah penting ke arah mempercepat integrasi tenaga serantau.

 Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Satvinder Singh berkata kemudahan itu akan menyokong pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur tenaga rentas sempadan berlandaskan inisiatif APG.

“Akan ada pengumuman besar mengenai Rangka Kerja Kemudahan Pembiayaan APG itu, kemungkinan pada Oktober apabila sidang kemuncak utama diadakan,” katanya kepada pemberita pada taklimat awal media mengenai Pelan Strategik AEC 2026-2030 di sini, Jumaat lepas.

Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN dengan Rakan Dialog dijadualkan diadakan pada Oktober depan.

“Dalam rangka kerja itu, mereka (ADB dan Bank Dunia) akan menumpukan kepada keupayaan, dari segi lebih banyak pembiayaan dalam bentuk dolar tersedia untuk digunakan oleh negara anggota,” katanya.

Ad Banner

Satvinder berkata selain pembiayaan, sokongan pembinaan kapasiti juga akan ditawarkan berdasarkan rangka kerja itu termasuk geran, kajian daya maju percuma dan kemudahan pembiayaan.

Kerangka itu turut menggariskan terma pinjaman yang ditambah baik seperti moratorium bagi projek yang layak dan perlindungan daripada ketidaktentuan politik yang bertujuan mempercepat projek pengelektrikan rentas sempadan di bawah APG, berikutan banyak negara bergelut untuk mencatatkan kemajuan ekoran risiko pembiayaan dan pelaburan.

“Jadi, saya berpandangan rangka kerja ini merupakan momentum positif yang semua pihak ingin dengar semasa kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini,” katanya.

Satvinder juga berkata skop APG berkembang luas melangkaui 18 projek penyambung di daratan pada asalnya.

APG kini merangkumi talian penghantaran bawah laut serta naik taraf grid nasional untuk menyokong penyepaduan tenaga boleh baharu dan menambah baik saling boleh kendali rentas sempadan bertujuan membolehkan aliran tenaga yang lancar antara negara di samping memperkukuh daya tahan tenaga rantau ini, katanya.

APG, diperkenalkan pada 1997, merupakan inisiatif serantau untuk menghubungkan infrastruktur elektrik antara 10 negara anggota ASEAN, dengan matlamat mencapai operasi grid yang bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.

Menurut Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, visi APG memerlukan anggaran pelaburan sebanyak US$764 bilion (US$1 = RM4.24) bagi infrastruktur penjanaan dan penghantaran tenaga.

Bulan lepas, Presiden ADB Masato Kanda berkata pihaknya komited untuk menyediakan US$10 bilion bagi menyokong APG dalam usaha mempercepat sambungan rentas sempadan, projek grid nasional, dan inisiatif tenaga boleh baharu yang akan memudahkan perdagangan tenaga.

ADB dilaporkan telah merancang pembiayaan sebanyak US$27 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menyokong keutamaan pembangunan negara anggota ASEAN, termasuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan daya saing, memperkasakan modal insan, serta memperkukuh daya tahan serantau.

Pada September tahun lepas, Pusat Tenaga ASEAN (ACE) menjelaskan Bank Dunia telah meluluskan pembiayaan bantuan teknikal US$5 juta untuk menyokong pelaksanaan APG.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan