Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Deklarasi KL, ACV 2045 Penanda Aras Era Baharu ASEAN - Setiausaha Agung

26/05/2025 10:58 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Deklarasi Kuala Lumpur dan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) yang ditandatangani dan diterima pakai oleh para pemimpin ASEAN hari ini menandakan permulaan dimensi baharu yang berani bagi blok serantau itu dalam merangka pelan strategik jangka panjang yang amat penting bagi menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata Deklarasi Kuala Lumpur dan ACV 2045 secara kolektif merupakan visi jangka panjang 20 tahun pertama yang pernah diterima pakai oleh para pemimpin ASEAN — ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita” — satu pendekatan baharu yang signifikan berbanding kerangka jangka pendek sebelum ini.

“Terdapat perbezaan besar dari segi inisiatif; fasa pertama (visi terdahulu) dimulakan oleh Malaysia. Dan kali ini juga, Malaysia telah terlibat sejak awal sebagai pengerusi bersama sehingga ke akhirnya….negara ini menerajui keseluruhan proses,” katanya kepada Bernama di luar sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini.

Menyifatkan ACV 2045 sebagai “sangat berani” dan “strategik”, Kao berkata wawasan jangka panjang itu amat tepat pada masanya memandangkan ia diperkenalkan ketika dunia sedang berdepan pelbagai gangguan global, termasuk dinamika politik dan keselamatan, kesan pasca pandemik COVID-19 serta krisis iklim yang semakin meruncing.

Beliau turut memuji Pengerusian Malaysia tahun ini yang disifatkannya “sangat dinamik dan strategik”, selari dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Ad Banner

Disokong oleh empat pelan strategik, beliau berkata ACV 2045 akan membentuk keutamaan ASEAN untuk dua dekad akan datang, sekali gus mencerminkan komitmen blok itu untuk menjadi lebih telus, terbuka dan inklusif.

“Deklarasi Kuala Lumpur ini, bersama-sama ACV 2045, merupakan pencapaian penting yang sedang digerakkan Malaysia, dan menandakan lembaran baharu bagi ASEAN,” katanya.

Seiring pandangan itu, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun berkata ACV 2045 memperkenalkan 17 elemen baharu yang mencerminkan landskap sosioekonomi ASEAN yang semakin berkembang.

Antaranya termasuk tema pembangunan mampan seperti ekonomi hijau dan ekonomi biru, serta usaha menangani cabaran populasi menua, memperkasa wanita dan belia, serta merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau ini.

“Semua ini bukanlah isu kontroversi, namun sangat penting untuk membentuk ASEAN yang lebih inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan,” katanya.

Oh sekali lagi menegaskan bahawa visi baharu ini diumumkan pada waktu yang penting, seiring ulang tahun ke-10 Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), dan deklarasi ini dijangka akan menilai pencapaian dekad lalu serta memperkukuh pelaksanaan integrasi ekonomi pada masa hadapan.

“Sebagai contoh, dalam usaha menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengurangkan halangan bukan tarif serta memperbaiki pergerakan bebas rakyat di seluruh ASEAN… ini masih merupakan cabaran yang berterusan,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan bahawa deklarasi seperti Deklarasi Kuala Lumpur lazimnya mengimbangi aspirasi masa depan dengan konsensus terhadap isu geopolitik semasa seperti Laut China Selatan.

“Biasanya akan ada seruan supaya semua pihak menahan diri dan mencari kata sepakat. Namun, dorongan sebenar perlu datang dari dalam — iaitu bagaimana kita mengurangkan halangan sesama kita,” katanya.

Melihat ke hadapan, Oh berkata dalam tempoh 20 tahun akan datang, ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan di tengah ketegangan global, terutamanya antara kuasa-kuasa besar, serta memastikan peranan pusat ASEAN dalam hal ehwal serantau terus dipertahan.

“ASEAN perlu terus memainkan peranan utama bagi memastikan sekurang-kurangnya rantau ini kekal aman dan makmur. Harapan dengan visi baharu ini adalah untuk menghadapi dunia yang tidak menentu dengan kejelasan dan kesepaduan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Danial Rahman berkata, perkara paling kukuh dalam wawasan baharu ini ialah penekanan konsep keterangkuman dijadikan sebagai matlamat utama.

“Jika kita mahukan daya tahan sebenar, kita tidak boleh mengabaikan golongan miskin, mereka yang tidak mempunyai dokumen, golongan tanpa kewarganegaraan, atau mereka yang terpinggir dari dunia digital. ASEAN bukan hanya untuk golongan elit atau pembuat dasar, tetapi untuk rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Deklarasi Kuala Lumpur mencerminkan keberanian ASEAN dalam menghadapi beberapa cabaran utama serantau, daripada krisis iklim dan populasi yang menua hingga kepada desakan mendesak bagi inklusi digital.

Danial berkata isu-isu ini bukan perkara yang remeh kerana Asia Tenggara berisiko kehilangan sehingga tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun akibat bencana berkaitan iklim.

“Menjelang 2045, satu daripada setiap lima orang dalam ASEAN dijangka berusia lebih 60 tahun. Selain itu, 60 peratus penduduk masih tidak mempunyai akses internet yang boleh dipercayai serta peluang ekonomi yang berkaitan,” tegas beliau.

Deklarasi Kuala Lumpur merangkumi enam dokumen utama, termasuk pelan strategik bagi setiap tonggak ASEAN iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya, dan ketersambungan. Secara keseluruhan, ia menetapkan 33 matlamat strategik dan 531 langkah konkrit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan