Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rafizi Tidak Gentar Berdepan Kuasa, Berani Nyata Kebenaran - Nurul Izzah

28/05/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menyifatkan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai individu yang tidak gentar berdepan dengan kuasa serta berani menyatakan kebenaran.

Beliau berkata Rafizi yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun itu telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana negara khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi.

Nurul Izzah berkata banyak idea Rafizi akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksanakan kerana perkara itu adalah yang terbaik untuk Malaysia.

“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.

“Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara dengan cara yang bermakna,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Nurul Izzah yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti baru-baru ini berkata tumpuannya kini adalah untuk memperkukuh parti dan memastikan pimpinan tertinggi sentiasa dipantau dengan baik.

Ad Banner

“Saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan. Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini," katanya.

Sebagai langkah awal, beliau akan memperkenalkan latihan wajib mengenai undang-undang berkaitan pengubahan wang haram, rasuah dan pematuhan cukai kepada semua pemimpin parti di peringkat pusat, negeri dan cabang.

“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka,” katanya.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini dan telah menghantar surat berkaitan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan