Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Persempadanan Selangor, Putrajaya Dimuktamad Akhir Tahun Ini - Amirudin

27/05/2025 02:34 PM

SHAH ALAM, 27 Mei (Bernama) -- Proses persempadanan antara Selangor dan Putrajaya dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata bagaimanapun persempadanan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan proses yang rumit.

“Setakat ini, proses persempadanan di Putrajaya hampir selesai (melibatkan) kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat manakala bagi kawasan (berhampiran) Kuala Lumpur seperti Ampang dan Petaling Jaya akan mengambil sedikit masa lagi,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan delegasi yang diketuainya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam. 

Pada pertemuan itu, Dr Zaliha membangkitkan isu penyelesaian persempadanan antara Kuala Lumpur dan Selangor serta Putrajaya dan Selangor bagi memastikan penguatkuasaan sempadan lebih bersepadu dapat dijalankan. 

Sementara itu, Amirudin berkata dalam pertemuan itu, pihaknya juga memohon 10 peratus daripada kawasan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor yang dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dibuka untuk pengebumian jenazah penduduk sekitar.

Ad Banner

Beliau berkata menerusi usaha itu, ia diharap dapat menyelesaikan isu pengurusan tanah perkuburan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan tetapi terletak berhampiran kawasan kediaman rakyat Selangor.

Semalam Dr Zaliha dilaporkan berkata pembukaan tanah perkuburan di Hulu Semenyih itu mampu menampung keperluan jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun.

Sementara itu, Amirudin berkata cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun masih di peringkat awal dan perkara berkenaan perlu diteliti dengan lebih lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan