Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

25,000 Veteran ATM Punya Kerjaya Kedua - Adly

27/05/2025 04:13 PM

BATU KAWAN, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 25,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai kerjaya kedua selepas mereka menamatkan Latihan Peralihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) demi masa depan lebih baik.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata 70 peratus daripada mereka terlibat dalam bidang keusahawanan manakala bakinya pelbagai bidang lain.

“Kita (ATM) fikir bidang keusahawanan bukanlah satu bidang yang mudah dan ada cabarannya tetapi mereka (veteran) ada modal kerana selepas menamatkan perkhidmatan mendapat sedikit ganjaran kewangan daripada kerajaan.

"Sebab itu kita bagi mereka pilihan dan ini adalah pilihan yang sebahagian kita berikan iaitu terlibat pekerjaan dalam industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), setiap tahun kita ada lebih 5,000 tentera yang bersara dan kita bantu carikan pekerjaan kedua," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus peserta Program Veteran MyWira di Micron Memory Malaysia di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) Thomas Mathew dan Naib Presiden Micron Memory Ramu Iyer.

Program Veteran MyWIRA yang dilancarkan pada Januari 2024 itu adalah inisiatif bersama TalentCorp iaitu sebuah agensi strategik dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Perhebat bagi membantu veteran tentera mendapatkan pekerjaan kedua selepas bersara.

Ad Banner

Adly berkata kerajaan komited memastikan veteran ATM mempunyai kerjaya kedua yang berkualiti dan pihaknya menyokong inisiatif Program Veteran MyWIRA itu yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.

"Cabaran kepada veteran ATM cukup besar kerana kebanyakannya masih muda iaitu pada usia 40 tahun mereka hilang pekerjaan, kalau berpencen pun mereka hilang separuh daripada pendapatan mereka sedangkan dari segi sosial, mereka mempunyai tanggungan anak-anak dan keluarga selain tanggungan perumahan dan aspek kesihatan, " katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan turut menjalin kerjasama dengan kementerian lain supaya dapat menyerap veteran tentera bekerja dalam beberapa segmen kerajaan menerusi bidang kepakaran tertentu, namun ia agak terbatas.

"Kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk serapkan anggota ATM. Sebagai contoh kita memang ambil veteran (berkhidmat) dalam Program Latihan Khidmat Negara kerana sebahagian daripada mereka menjadi jurulatih.

"Sekarang kita sedang melihat peluang dalam industri kerana kita tahu dalam bidang-bidang di perkhidmatan awam agak terhad. Di industri terutama melibatkan semikonduktor dan E&E sebenarnya lebih luas sebab itu melalui TalentCorp, kita buka ruang ini dan saya fikir dengan sedikit latihan serta kepakaran, veteran ATM sudah bersedia untuk memberikan sumbangan mereka kepada bidang perindustrian," katanya.

Secara keseluruhannya, program di Micron Memory Malaysia menyediakan latihan enam bulan dalam bidang teknikal dan penyeliaan menerusi dua kohort melibatkan 133 calon telah ditemu duga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan